ALOR SETAR: Seorang pendakwah bebas sekali lagi direman bersama seorang Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah di negeri ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki bersubahat dalam penyelewengan dana dianggarkan RM1.3 juta.
Perintah reman selama tiga hari sehingga Ahad ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Nur Amalina Abd Rahman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, di sini, pagi ini.
Sumber berkata, suspek seorang lelaki dan seorang wanita berusia 30-an ditahan semula kira-kira jam 6 petang semalam di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani bagi membantu siasatan kes berasingan.
Katanya, kedua-dua suspek sebelum itu direman sehari selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Petani, sebelum dibebaskan jam 5 petang hari yang sama.
“Kedua-dua suspek, di mana pendakwah bebas terbabit yang juga Pengarah Urusan institusi pusat pendidikan dan dakwah di negeri ini direman untuk kali kedua kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya.
“Pada masa sama, siasatan turut mendapati kedua-dua suspek meluluskan pembayaran untuk pembelian rumah bernilai kira-kira RM500,000,” katanya.
Semalam, kedua-dua individu itu direman bagi membantu siasatan selepas disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pembayaran kira-kira RM600,000 bagi tujuan kutipan dana institusi pendidikan dan dakwah berkenaan tanpa persetujuan rakan kongsi lain.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, siasatan yang dijalankan SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML)SPRM sejak Oktober tahun lalu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, media melaporkan SPRM Kedah menahan reman dua individu termasuk seorang pendakwah bebas kerana disyaki bersubahat menyalah guna kuasa meluluskan kira-kira RM600,000 sebagai balasan bayaran mengumpul dana sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah.
Perintah reman sehari terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Noorfazlina Musa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani pagi semalam.
-Berita Harian


