KUANTAN: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah nekad merempuh lima kenderaan selepas dikejar polis di bandar raya ini, semalam.
Berdasarkan rakaman video tular, suspek cuba melarikan diri selepas kereta dipandunya terhalang akibat kesesakan lalu lintas di Jalan Datuk Wong Ah Jang, kira-kira jam 3:15 petang.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata ketika kejadian suspek, 27, dikesan memandu dari arah Jalan Gambut ke Jalan Semambu.
Sebaik menyedari dikejar polis, katanya lelaki terbabit merempuh lima kenderaan dan cuba melarikan diri dengan meninggalkan kereta di tengah jalan.
Bagaimanapun katanya, suspek dikejar sebelum ditahan polis berhampiran lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan lanjut polis menemukan sejumlah dadah jenis pil yaba dan syabu bernilai kira-kira RM2,300,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Ashari berkata, hasil saringan air kencing lelaki berasal dari Pekan itu turut didapati positif dadah.
Menurutnya, suspek juga mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah.
Katanya, semua pemandu serta penumpang lima kenderaan dirempuh kereta dipandu suspek dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BHonline-


