KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan bahawa sebarang tindakan atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama, khususnya melibatkan penghinaan terhadap kemuliaan Nabi Muhammad SAW dan kesucian Al-Quran, tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menggugat keharmonian masyarakat.

Beliau berkata demikian susulan isu membabitkan tindakan seorang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dikaitkan dengan perbuatan menghina kesucian Al-Quran, yang kini mendapat perhatian ramai.
“Saya memandang serius isu melibatkan tindakan seorang mahasiswa di UMPSA yang dikaitkan dengan perbuatan menghina kemuliaan Nabi Muhammad SAW serta kesucian Al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, perbuatan tersebut bukan sahaja amat mendukacitakan, malah menjadi lebih sensitif apabila berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia, ketika umat Islam menuntut penghormatan tinggi terhadap nilai agama dan kesucian Islam.
Wan Rosdy menegaskan bahawa sebarang tindakan yang menyentuh sensitiviti agama berpotensi mencetuskan ketegangan, menjejaskan keharmonian serta merosakkan asas perpaduan yang telah lama dibina dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Sebarang tindakan atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menggugat kestabilan dan perpaduan masyarakat,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta pengurusan UMPSA untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan berlandaskan undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.
Dalam masa sama, Wan Rosdy turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan muda, agar sentiasa berfikir panjang dan berhati-hati dalam setiap tindakan serta perkongsian, terutama di ruang awam dan media sosial.
“Marilah kita bersama-sama memelihara semangat saling menghormati, memahami perbezaan serta menjunjung nilai kesopanan dan toleransi demi kesejahteraan negeri Pahang dan negara tercinta,” katanya.


