Oleh Mynewshub
GOMBAK – Sebuah kuil yang didakwa dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik Yayasan Kubra telah dialihkan sebelum jam 12 tengah malam tadi, sekali gus meredakan ketegangan yang tercetus sejak beberapa hari lalu.
Menurut kenyataan yang dimuat naik oleh Pendakwah Bebas, Firdaus Wong, pihak yang menceroboh tanah berkenaan telah memindahkan sendiri berhala serta barangan berkaitan daripada kuil tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut diambil oleh pemilik tanah.
Beliau turut menegaskan bahawa IPD Gombak telah dimaklumkan mengenai perkembangan situasi tersebut dan pihak polis memberi jaminan akan menjaga keselamatan kawasan berkenaan.
Menurutnya lagi, pihak polis juga tidak akan menghalang pemilik tanah daripada mengambil tindakan sewajarnya untuk membersihkan tanah milik mereka, selagi ia dilakukan mengikut lunas undang-undang.
Satu operasi gotong-royong dijangka akan dimulakan oleh orang ramai pagi ini bagi membersihkan kawasan tanah milik yayasan berkenaan.
“Kita daulatkan undang-undang dengan mengikut undang-undang,” tegas beliau.
Dalam masa sama, Firdaus meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan pihak tertentu yang cuba “berlagak hero” dan mengambil kesempatan daripada situasi berkenaan bagi mencetuskan kekeliruan atau sentimen tidak sihat dalam masyarakat.
“Isu ini seharusnya dilihat dari sudut perundangan. Abaikan individu atau kumpulan yang cuba menangguk di air yang keruh,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.
Isu pencerobohan tanah dan pembinaan struktur tanpa kebenaran sering menjadi perhatian awam kerana melibatkan sensitiviti pelbagai pihak.
Justeru, penyelesaian secara aman dan berlandaskan undang-undang dilihat sebagai pendekatan terbaik bagi mengelakkan ketegangan kaum dan agama.
Mynewshub akan terus memantau perkembangan lanjut berkaitan isu ini.-MYNEWSHUB


