BESUT: Seorang kontraktor rugi RM107,995 terpedaya dengan tawaran tender projek tidak wujud.
Lelaki berusia 47 tahun itu membuat laporan polis semalam mendakwa ditipu seorang individu yang menawarkan tender perkhidmatan membekal mesin jana kuasa elektrik, kononnya untuk kegunaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim, berkata mangsa bersetuju membeli lima unit mesin jana kuasa mudah alih dengan nilai keseluruhan RM107,995.
“Dia membuat lima transaksi pembayaran ke satu akaun milik sebuah syarikat tempatan, bermula 10 Februari hingga 12 Februari lalu. Bagaimanapun setelah menghubungi PPD Besut untuk pengesahan, dia dimaklumkan tiada sebarang tender sedemikian ditawarkan.
“Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu menipu berkaitan tawaran tender projek tidak wujud. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun serta sebat dan denda,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran tender atau projek tanpa pengesahan rasmi agensi berkaitan, selain menggunakan saluran disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, antaranya Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.
-Berita Harian


