Dia langgar orang….dia pulak nak mengamuk….
OLEH MYNEWSHUB
SINGAPURA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di South Bridge Road, Chinatown, berhampiran Buddha Tooth Relic Temple, sekitar jam 11.50 pagi, 6 Februari lalu.
Menurut laporan media Singapura, mangsa yang merupakan pelancong dari Indonesia sedang berjalan bersama ibunya sebelum dilanggar sebuah kenderaan dipandu oleh seorang wanita berusia 38 yang keluar dari kawasan parkir South Bridge Road.

Pemandu tersebut dipercayai tidak memberi perhatian sepenuhnya terhadap keadaan sekeliling ketika membelok keluar.
“Wanita itu sedang memandu keluar dari tempat parkir. Dia tidak melihat pejalan kaki di sebelah kanannya,” kata Nguyen Thi Hanh, seorang saksi yang berada tepat di belakang mangsa dalam perkongsiannya.
Kenderaan tersebut kemudian melanggar ibu dan anak berkenaan.
Menurut saksi, bapa mangsa tiba di lokasi kira-kira dua minit selepas kejadian.
Beliau dilaporkan terduduk lemah sambil memeluk erat tubuh anak perempuannya yang sudah tidak berdaya di atas jalan.
Isterinya pula terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Petugas perubatan daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sempat menjalankan prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR) bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak tersebut sebelum dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (Singapore General Hospital – SGH).
Mangsa dan ibunya dikejarkan ke hospital dalam keadaan sedar, namun kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Ibunya kini dilaporkan sedang menerima rawatan.
Pemandu Ditahan Polis
Polis Singapura mengesahkan seorang wanita berusia 38 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah kesalahan memandu tanpa pertimbangan munasabah sehingga menyebabkan kematian.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Orang Ramai Berang Sikap Pemandu
Insiden tersebut turut mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan pemandu wanita itu didakwa membuat isyarat tangan dan memarahi suami mangsa di lokasi kejadian.
Dalam rakaman yang tersebar, wanita berkenaan dilihat berdiri berhampiran pita keselamatan polis dan bercakap dengan nada tegas kepada seorang lelaki dipercayai bapa mangsa.
Tindakan itu mengundang kecaman netizen yang menyifatkan sikap berkenaan sebagai tidak sensitif memandangkan mangsa merupakan kanak-kanak kecil dan keluarga terbabit sedang berdepan detik tragis. –MYNEWSHUB


