KUALA LUMPUR: Pengimportan sisa elektronik atau e-waste kini disekat sepenuhnya selepas ia diletakkan di bawah kategori Larangan Mutlak mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 berkuatkuasa serta-merta.
Keputusan dicapai melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 2/2026 yang dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Azam ketika mengumumkan perkara itu, berkata keputusan diambil sebagai langkah untuk memperketat kawalan kemasukan sisa berbahaya dan melindungi alam sekitar.
Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan tegas dan bersepadu oleh semua agensi berkaitan adalah diperlukan.
“E-waste tidak lagi dibenarkan masuk ke negara ini. Penguatkuasaan mesti dilaksanakan dengan tegas melibatkan semua agensi,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk meletakkan e-waste di bawah kategori Larangan Mutlak.
Sebelum ini, e-waste disenaraikan di bawah Larangan Bersyarat di mana Ketua Pengarah JAS mempunyai kuasa budi bicara untuk memberikan pengecualian tertakluk kepada syarat tertentu.
Peruntukan ini termaktub dalam Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Tambah Azam lagi, mesyuarat hari ini juga memutuskan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelarasan E-Waste, yang akan dipengerusikan oleh Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
“Jawatankuasa ini perlu melaporkan hasil mesyuarat kepada Pasukan Petugas Khas dalam tempoh seminggu bagi memastikan pengurusan e-waste lebih sistematik dan berkesan,” katanya.
“Mesyuarat juga membincangkan cadangan pelaksanaan moratorium tiga bulan terhadap pengimportan sisa plastik.
“Bagaimanapun, sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan SWCorp perlu mengemukakan data terperinci mengenai sumbangan sektor itu kepada ekonomi negara untuk pertimbangan Perdana Menteri,” katanya.
Mesyuarat hari ini turut dihadiri Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fazlisyam Abd Majid; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Nor Yahati Awang dan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.
Turut serta Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM, Sudirman Aban, serta wakil Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Kementerian Dalam Negeri, NRES dan AKPS.
BHonline-


