Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa satu hantaran beliau di Facebook bertarikh 17 Februari lalu yang menyentuh tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merampas reruai Street Dakwah Multiracial Reverted Muslims (MRM) telah dihadkan aksesnya di Malaysia.
Menurutnya, beliau menerima notifikasi pada tengah malam 28 Februari memaklumkan hantaran tersebut disekat atas permintaan pihak berwajib, meskipun isu berkenaan didakwa sudah pun selesai beberapa hari sebelum itu.
Firdaus Wong menjelaskan, hantaran asal pada 17 Februari lalu tersebut berkaitan tindakan DBKL merampas barangan di reruai Street Dakwah MRM.
Susulan itu, katanya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil berkaitan termasuk pegawai khas kepada Perdana Menteri sebelum barangan yang dirampas dipulangkan pada 23 Februari.
“Kes sudah selesai dan saya tidak panjangkan lagi isu ini selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Firdaus Wong berkata, isu berkenaan namun kembali disentuh apabila seorang menteri menjawab soalan berkaitan perkara itu di Parlimen pada 26 Februari.
Justeru, katanya, beliau membuat satu lagi hantaran memetik jawapan tersebut serta memaklumkan akan memberi respons apabila berkelapangan.
Beliau merumuskan, sekatan terhadap hantaran bertarikh 17 Februari itu hanya berlaku selepas lebih 10 hari dan selepas barangan yang dirampas dipulangkan.
Justeru, Firdaus Wong mempersoalkan rasional tindakan berkenaan, memandangkan menurutnya, jika terdapat sebarang kesalahan dalam kandungan tersebut, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap beliau.
Beliau juga membangkitkan hantaran asalnya hanya menyentuh isu tindakan DBKL dan bukan serangan terhadap mana-mana individu.
Sehubungan itu, beliau menuntut penjelasan lanjut berhubung punca dan arahan sebenar yang membawa kepada sekatan berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Firdaus Wong Wai Hung


