KAJANG – Polis Selangor menahan lima lelaki berusia antara 24 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan berhubung insiden tular membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang melanggar sebuah motosikal di Kampung Sungai Jernih, di sini, pada 12 Februari 2026.
Ketua Polis Selangor, CP Datuk Pahlawan Shazeli Datuk Kahar berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video tular pada jam kira-kira 11.41 pagi yang memaparkan sebuah pacuan empat roda melanggar motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara dua pihak yang berlaku di kawasan berkenaan pada hari sama.
“Susulan insiden itu, polis menerima dua laporan berasingan.
”Bagi laporan pertama, dua lelaki ditahan iaitu seorang warga tempatan dan seorang bukan warga tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 34 tahun.
“Bagi laporan kedua pula, tiga lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 38 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menjelaskan, suspek dalam laporan kes pertama merupakan pengadu bagi laporan kes kedua, manakala pengadu kes kedua pula adalah suspek dalam kes pertama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 395/365 Kanun Keseksaan.
Polis turut memaklumkan motif kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian peribadi berkaitan isu tanah serta laluan lori di kawasan tersebut.
Tegas beliau, insiden berkenaan tidak mempunyai sebarang unsur gangsterisme mahupun isu perkauman, sebaliknya melibatkan konflik peribadi antara individu terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang serta tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Polis akan mengambil tindakan tegas berdasarkan lunas perundangan terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Siasatan lanjut masih diteruskan. –MYNEWSHUB


