Alor Setar: Tempoh reman terhadap wanita yang ditahan polis kerana melakukan kekacauan, menunjukkan isyarat lucah serta bertindak agresif terhadap anggota polis di kawasan Mergong, di sini, Selasa lalu disambung sehari lagi untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, reman terhadap suspek disambung sehingga esok.
Semalam, suspek berusia 34 tahun direman dua hari sehingga hari ini untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita tempatan ditahan polis kerana dipercayai melakukan kekacauan serta bertindak agresif.
Polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 1.11 tengah hari memaklumkan wanita dipercayai kurang siuman bertindak menumbuk seorang individu di sebuah syarikat di Mergong, di sini.
Susulan maklumat itu, dua anggota polis ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan.
Sebaik tiba di lokasi, anggota polis mendapati suspek sedang membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.
-Harian Metro


