KUALA LUMPUR: Ketika pemilik pasukan memiliki akses istimewa, khas dan premium di stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak namun pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail mengambil pendekatan yang berbeza.
Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor tidak menyaksikan perlawanan JDT menentang Selangor FC (SFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) namun baginda dan keluarga menonton aksi itu di restoran mamak.
Perkembangan itu dikongsikan baginda menerusi Instastory baginda, malam tadi.
Dalam beberapa keping gambar yang dikongsikan itu, kelihatan juga isteri baginda, Che’ Puan Khaleeda Bustamam yang turut menemani baginda menonton pertembungan itu.
Baginda juga berkongsi suasana di restoran mamak itu yang kelihatan penuh dengan pengunjung yang ingin menonton perlawanan terbabit.
Meskipun baginda tidak berada di stadium, semangat Tunku Mahkota Ismail jelas tetap mengiringi perjuangan JDT di stadium.
Skuad bimbingan Xisco Munoz itu meraih kemenangan ke-13 berturut-turut selepas menumbangkan SFC 2-0.
Mereka membuka jaringan seawal minit keenam menerusi gol sendiri Richmond Ankrah sebelum pemain gantian, Bergson da Silva meledak gol kedua di hujung permainan.
Kemenangan itu membolehkan mereka terus gayat di persada liga dengan 39 mata, 11 mata mengatasi Kuching City dan KL City FC yang masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga.
BHonline-


