KUALA LUMPUR: Jurucakap Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad mahu UMNO meneliti secara mendalam usaha persempadanan semula kawasan pilihan raya, dengan memastikan bilangan kerusi Parlimen orang Melayu bertambah.
Beliau turut menggesa parti menetapkan sasaran untuk diwujudkan lebih banyak kawasan Parlimen Melayu, supaya mencerminkan representasi populasi sebenar orang Melayu dalam Parlimen.
“Kalau tak boleh buat perkara ini, di bawah rumah besar bangsa, elok UMNO yang menjadi parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan, tolak persempadanan semula ini.”
“Saya minta lihat betul-betul jika ada cadangan persempadanan semua kawasan pilihan raya dalam penggal pentadbiran PRU ke-15 ini,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden ketika Persidangan Agung UMNO 2025 hari ini.
Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK), Tan Sri Zainal Dahalan membangkitkan kebimbangan mengenai risiko Barisan Nasional (BN) dan UMNO kehilangan sokongan lebih besar di Selangor sekiranya kerajaan melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya terutama di kawasan bandar.
Ia mengambil kira kedudukan semasa BN khususnya UMNO di Selangor yang hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Sungai Air Tawar dan Dusun Tua.
BN juga, katanya tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Parlimen majoriti Melayu terhakis di Pulau Pinang
Mengulas lanjut, wakil UMNO Pulau Pinang itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap pembangunan tidak terkawal di negeri itu yang berpotensi menghakis status beberapa kawasan Parlimen majoriti Melayu, sekali gus menjejaskan representasi politik Melayu pada masa depan.
Dalam pada itu, Mohd Noor Ahmad turut membangkitkan kebimbangan mengenai perubahan demografi akibat pembangunan pesat sejak Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa di Pulau Pinang 2008.
Tegas beliau perkara itu perlu diberi perhatian serius, khususnya menjelang sebarang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Memberi contoh Bayan Baru yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai Parlimen Melayu, katanya kini berubah status dan situasi sama berkemungkinan berlaku di beberapa kawasan lain seperti Kepala Batas, Tasek Gelugor, Balik Pulau, Permatang Pauh, dan Nibong Tebal.
“Saya nak minta Datuk Seri Presiden UMNO lihat betul-betul jika ada cadangan untuk melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya dalam penggal pentadbiran PRU15 ini.
“Kalau nak wujudkan kawasan Parlimen baharu, jangan biarkan hanya kawasan Parlimen bukan Melayu sahaja pecah sempadan, sebab ia akan menyumbang pada tambah representasi wakil parti mereka (bukan Melayu) dalam kerajaan,” katanya.
-Berita Harian


