PALM BEACH: Presiden Donald Trump akan membenarkan syarikat minyak Amerika Syarikat (AS) memasuki Venezuela bagi meneroka rizab minyak mentah yang besar selepas operasi ketenteraan AS menahan pemimpin negara itu, Nicolas Maduro.
Tentera AS melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas ibu negara Venezuela, Caracas, awal pagi semalam.
Maduro dan isterinya ditangkap sebelum diterbangkan ke New York City. Pasangan itu kemudiannya didakwa atas pertuduhan berkaitan pengedaran dadah dan senjata.
“Kita akan membawa masuk syarikat minyak besar AS terbesar di dunia untuk melabur berbilion dolar, membaiki infrastruktur yang rosak teruk, khususnya infrastruktur minyak, dan mula menjana keuntungan untuk negara itu,” kata Trump dalam sidang media di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Presiden AS itu menegaskan “sekatan penuh ke atas semua minyak Venezuela masih berkuat kuasa.”
Washington mengenakan sekatan ekonomi ke atas Venezuela pada 2017, diikuti sekatan minyak dua tahun kemudian.
Menurut Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Venezuela kini menghasilkan kurang daripada satu juta tong minyak mentah sehari dan menjual sebahagian besar pengeluarannya di pasaran gelap pada harga diskaun yang tinggi.
Trump mendakwa Caracas menggunakan hasil minyak bagi membiayai “keganasan dadah, pemerdagangan manusia, pembunuhan dan penculikan.”
Pada awal penggal keduanya tahun lalu, Trump menamatkan lesen yang membenarkan syarikat minyak dan gas multinasional beroperasi di Venezuela walaupun sekatan dikenakan, dengan hanya syarikat AS Chevron diberikan pengecualian.
Chevron mengendalikan empat medan minyak di Venezuela melalui kerjasama dengan syarikat milik negara, PDVSA, dan sekutunya.
Washington turut mengenakan sekatan menyeluruh terhadap kapal tangki yang disenarai hitam daripada keluar masuk Venezuela.
Wilayah Venezuela merangkumi kira-kira 17 peratus rizab minyak dunia, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada 2023, namun negara itu jauh daripada status pengeluar utama berikutan bertahun-tahun salah urus dan rasuah.
Minyak Venezuela berkualiti lebih rendah dan kebanyakannya diproses menjadi diesel atau produk sampingan seperti asfalt, bukannya petrol.
AS memiliki loji penapisan di sekitar Teluk Mexico yang direka khusus untuk memproses minyak berkenaan.
“AS berada dalam keadaan baik tanpa minyak Venezuela,” kata penganalisis firma perundingan Schork Group, Stephen Schork, kepada AFP bulan lalu, sambil menyifatkan isu itu lebih bersifat politik.
-AFP


