BATU PAHAT: Suspek lelaki yang kritikal selepas mengelar leher dan pergelangan tangan sebaik disyaki membunuh teman wanitanya di sebuah rumah sewa Taman Damai II, di sini Selasa lalu, sudah sedar namun memerlukan pemantauan rapi.
Lelaki yang juga penganggur berusia 44 tahun itu pada ketika ini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) selepas dilaporkan kritikal akibat kecederaan dialaminya.
Ketua Polis Daerah Batru Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata keadaan suspek juga dilaporkan stabil.
“Polis belum merekod keterangan daripada suspek memandangkan tindak balasnya masih perlahan. Kita masih menunggu keadaannya pulih sekali gus membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya ketika dihubungi.
Polis menyerbu sebuah rumah pada jam 12.30 tengah malam Khamis lalu dan menemukan seorang wanita berusia 41 tahun dalam keadaan tidak sedar diri selepas disyaki dibunuh oleh suspek dengan mukanya diterkap dengan bantal.
Penemuan mayat mangsa itu susulan ahli keluarga mangsa membuat laporan bahawa mereka gagal menghubunginya sejak tiga hari lalu.
Sebaik memecah masuk rumah dengan bantuan anggota bomba berikutan pintu berkunci dari dalam, polis menemukan suspek dalam keadaan kritikal sedang baring atas katil bersebelahan mayat mangsa.
Suspek juga dilaporkan sudah lama mengenali mangsa malah kelibat mereka keluar masuk dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) kerap dilihat penduduk berdekatan.
Semalam, Shahrulanuar memberitahu, suspek dipercayai turut mencederakan diri sendiri dan berkemungkinan berniat untuk membunuh diri.
“Berdasarkan kesan kecederaan yang ditemui pada badan suspek, polis percaya ia berlaku sejak beberapa hari sebelum dia dan mayat teman wanita ditemukan.
“Suspek juga masih direman sejak semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
BHonline-

