Kuala Lumpur: Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT), selaras Fasal 8.3(l)(b) perlembagaan gabungan itu.
Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden PAS itu melalui surat bertarikh semalam, menggesa perkara itu yang antaranya bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Katanya, gesaan supaya MT PN segera bermesyuarat itu dibuat demi kelangsungan gabungan itu, selain melantik Pengerusi baharu, menggantikan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Pagoh.
“Saya sebagai Presiden PAS sudah menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi, bertarikh 30 Disember 2025 yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
“Di pihak PAS, kami menghormati dan menerima keputusan diambil Muhyiddin serta merakamkan penghargaan atas segala khidmat dan jasa bakti dicurahkan sepanjang menerajui PN, sebelum ini.
“Diharapkan perkara ini diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan terbabit sudah melebihi 10 hari,” kata Ahli Parlimen Marang itu.
Beliau berkata demikian dalam kandungan surat rasmi PAS bertajuk ‘Panggilan Mesyuarat Tergempar MT PN’ yang dimuat naik di laman sosialnya, hari ini.
Baru-baru ini, Muhyiddin dilapor mengumumkan meletak jawatan Pengerusi PN selepas lima tahun mengetuai gabungan itu, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Beliau melepaskan jawatannya selepas lima tahun menerajui kepemimpinan PN, sejak gabungan itu didaftarkan secara rasmi, pada 7 Ogos 2020.
Selain BERSATU, parti utama yang berada dalam gabungan PN antaranya PAS dan GERAKAN.
Berikutan itu, timbul pelbagai spekulasi calon akan menerajui PN dengan antara nama disebut ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.
Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada PAS termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan Pengerusi PN diberi kepada PAS.
Perselisihan hubungan antara PAS dan BERSATU semakin ketara selepas berlaku pergolakan politik di Perlis, menyaksikan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari PAS, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
-Harian Metro


