KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan perihal kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN), peranan PAS dan potensi Datuk Seri Hamzah Zainudin mengambil alih kepimpinan BERSATU.
Mengenai PAS, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa, bagi parti diterajui Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan, masalah dihadapi PN akan selesai apabila Muhyiddin berundur sebagai pengerusi gabungan terbabit.
“Bagi PAS, masalah PN akan selesai apabila Muhyiddin berundur. PAS lantiklah orangnya sebagai Pengerusi PN. Tidak perlu lagi pinda perlembagaan PN,” kongsinya dalam hantaran di Facebook.
Dakwanya lagi, cadangan mewujudkan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif seperti terkandung di dalam surat Abdul Hadi kepada Muhyiddin pada Disember 2024 hanya untuk mengekang kuasa Ahli Parlimen Pagoh sebagai Pengerusi PN, bukan untuk memperkasakan gabungan itu.
“Apabila Muhyiddin berundur, kedua-dua majlis ini menjadi akademik, useless (tidak berguna),” tambahnya yang berkhidmat ketika Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri antara 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021.
Tulisnya lagi, Presiden BERSATU secara konsisten diserang dari dalam dan luar parti dengan satu tujuan, iaitu untuk menyingkirkan bekas Perdana Menteri itu dalam plot yang dirujuknya sebagai Muhyiddin Exit.
“Di dalam parti, timbalan presiden yang tugasnya menurut perlembagaan parti adalah membantu presiden, setiap hari menggunakan tangan-tangan kotor menyerang presiden. Ini rahsia umum.
“Serangan demi serangan sedang rancak dilancarkan dari dalam parti rakan juga. Perkataan ‘berambus’, your time is finished sudah keluar dari mulut pemimpin PAS tanpa selindung.
“‘Kawan makan kawan’ adalah sindiran kasar pemimpin PAS terhadap Muhyiddin. Walaupun masalah di Perlis puncanya kerana bergaduh sesama PAS.
“Tetapi Muhyiddin yang terkena getah,” katanya merujuk kemelut yang menyaksikan Menteri Besar Perlis daripada PAS meletak jawatan sebelum diganti wakil BERSATU.
Mempertahankan Muhyiddin, Marzuki menegaskan Presiden BERSATU itu hanyalah manusia biasa, bukan malaikat dan bukan juga ulama yang boleh melindungi kelemahan ‘di sebalik jubah dan serban yang besar’.
“Diminta berambus, beliau berambus, tetapi adakah masanya telah tamat? Belum lagi,” katanya turut mendedahkan kisah seorang pemimpin kanan PAS yang didakwanya sanggup ke London bertemu Muhyiddin.
“Kalau tidak, masakan seorang Naib Presiden PAS sanggup mengejar Muhyiddin hingga ke London untuk mendapatkan endorsement Muhyiddin supaya dia dinamakan sebagai Pengerusi PN.
“Nasib baik Muhyiddin kata tunggu dia balik ke KL (Kuala Lumpur) sajalah. Kalau tidak, rugi beli tiket kapal terbang balik tangan kosong. Tiada angin tiada ribut, Mursyidul Am PAS berkunjung ke rumah Muhyiddin.
“Apa yang dibincang saya tidak tahu. Katanya ia ada kaitan dengan pergaduhan besar yang sedang berlaku di dalam PAS. Selepas itu Haji Hadi dan rombongannya pula berkunjung ke rumah Muhyiddin. Bukan Muhyiddin yang jemput, tetapi Setiausaha Agung PAS yang minta,” tambahnya.
Marzuki berkata, perbincangan berlangsung secara harmoni dan keputusan juga dibuat secara harmoni, tetapi hasilnya tidak harmoni.
“Sekarang berbalah lagi. Sekali lagi Muhyiddin dipersalahkan oleh PAS, kemudian disambut pula dengan desakan dari dalam BERSATU supaya Muhyiddin meletakkan jawatan Presiden BERSATU.
“Muhyiddin has come a full circle. Dia pun manusia biasa. Bukan malaikat yang suci. Bukan ulama yang dipuja. Ramai yang sedang menunggu untuk bertepuk tangan menyaksikan projek Muhyiddin exit berjaya,” tambahnya.
Mengenai kedudukan Hamzah, beliau berpandangan jika Ahli Parlimen Larut berkenaan bernasib baik dan Muhyiddin berundur, jawatan Presiden BERSATU akan disandang Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu.
“Tetapi adakah beliau akan dicalonkan oleh PN untuk menjadi Perdana Menteri dalam PRU16? Melihat keterujaan PAS untuk memimpin PN, jawapannya terlalu tipis. PAS ada ’empat lori’ calon PM,” katanya.
Beliau juga mendakwa, Hamzah tidak berhasrat menjadi calon Perdana Menteri yang bertanding dalam pilihan raya kerana ketua pembangkang itu tahu kedudukannya.
“Dengan popularitinya hanya 17 peratus, bertanding sebagai calon PM will be a run on his money. Hamzah hanya mahu menjadi Presiden BERSATU,” dakwa Marzuki.
Berkongsi lanjut teorinya, beliau turut mendakwa, sebagai Presiden BERSATU, Hamzah ada nilai yang amat tinggi di mata UMNO.
“Selaras dengan seruan Presiden UMNO supaya ahli-ahli UMNO yang meninggalkan parti itu kembali semula ke UMNO demi perpaduan Melayu, Hamzah akan bubarkan BERSATU dan semua ahlinya diserap menjadi ahli UMNO.
“Akhirnya, UMNO berjaya consolidate (perkukuh) partinya dan meneruskan kerjasamanya dengan PH (Pakatan Harapan), GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) untuk membentuk kerajaan selepas PRU16.
“BERSATU berkubur dan Hamzah will kiss a good bye to PAS. PAS akan kalah besar dalam PRU16. PAS akhirnya terpaksa berfikir dan menimbang – if we cannot beat them, we might as well join them.
“Saya bukan bomoh yang boleh meramal, tetapi bagi saya kesan Muhyiddin exit ialah Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU16,” tambahnya lagi sambil mengaitkan nama Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
BH masih berusaha mendapatkan maklum balas daripada pimpinan PAS dan BERSATU termasuk Hamzah mengenai dakwaan Marzuki itu.
Sebelum ini, Hamzah mendedahkan beliau tidak dijemput untuk menghadiri pertemuan pramajlis yang berlangsung di kediaman Muhyiddin malam kelmarin.
Sementara itu, Marzuki berkata, jika boleh menasihati Muhyiddin, beliau akan meminta bekas Perdana Menteri itu berundur.
“Tiada guna memimpin sekelompok manusia yang tidak tahu menilai kepimpinan anda, malah mereka menganggap anda adalah liabiliti terbesar mereka,” katanya.
BHonline-


