KOTA BHARU: Polis Kelantan termasuk cawangan khas kini giat memburu beberapa suspek pengeboman 11 stesen minyak di Selatan Thailand yang didakwa melarikan diri ke Malaysia melalui negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ini berdasarkan kenyataan pihak berkuasa negara jiran berkenaan pada hari pertama kejadian, yang memaklumkan suspek sudah lari ke negara ini.
“Jadi, kita sudah berhubung dengan mereka (pihak berkuasa Thailand) untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut bagi membantu mereka,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan sebahagian daripada kumpulan yang melakukan pengeboman 11 stesen minyak di Narathiwat dipercayai melarikan diri ke Malaysia selain bersembunyi di kawasan pergunungan dan hutan berhampiran sempadan.
Sumber keselamatan berkata, seorang daripada dua suspek yang ditahan kelmarin didapati membuat persiapan untuk melarikan diri ke Malaysia ketika serbuan di Mukim Tha Saap, daerah Mueang, Yala.
Hasil soal siasat awal oleh pasukan khas Bahagian Siasatan Polis Wilayah Yala mendapati, suspek berusia 39 tahun sedang membuat persediaan untuk melarikan diri ke Malaysia dalam masa terdekat.
BHonline-


