KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar wanita Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) disahkan meninggal dunia selepas kenderaan yang dinaikinya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dalam satu kemalangan di persimpangan jalan, baru-baru ini.

Mangsa, Allahyarhamah Syakirah Hanan Mazli, merupakan pelajar Kelas B, Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan, Semester 2 di UniSZA.
Menurut maklumat awal, kemalangan berlaku ketika kenderaan dinaiki mangsa sedang melalui persimpangan jalan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat.
Kereta yang melanggar dipandu seorang lelaki yang cedera parah dalam kejadian berkenaan.
Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan, Allahyarhamah sedang dalam perjalanan ke Institut Pendidikan Guru (IPG/JPN) bagi menguruskan permohonan menjalani latihan mengajar yang dijadualkan pada bulan Mac hadapan.
Berita pemergian Allahyarhamah mengejutkan rakan-rakan, warga kampus serta kenalan terdekat, yang turut berkongsi ucapan takziah dan menitipkan doa di media sosial.
Kes kini disiasat oleh pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, termasuk tindakan pemandu yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.
Orang ramai sekali lagi diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya bagi mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. – MYNEWSHUB


