KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan rejim Zionis Israel untuk melarang dan menggantung operasi sebilangan besar organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa di Gaza.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan, hari ini, menegaskan tindakan itu adalah pelanggaran jelas terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Menurut Wisma Putra, langkah itu akan terus memburukkan lagi krisis serta malapetaka kemanusiaan sedia meruncing susulan perang rejim itu terhadap penduduk di wilayah Palestin yang telah berlarutan lebih dua tahun.
“Halangan terhadap bantuan kemanusiaan merupakan hukuman kolektif ke atas orang awam dan menjejaskan sifat berkecuali serta kebebasan petugas kemanusiaan.
“Rejim Israel diwajibkan secara sah bawah Konvensyen Geneva Keempat untuk memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza,” katanya.
Sehubungan itu, Wisma Putra berkata, Malaysia menggesa komuniti antarabangsa bertindak tegas untuk memaksa Israel membatalkan keputusannya itu dengan serta-merta.
Selain itu, katanya, memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan sepenuhnya tanpa sekatan, atau Israel perlu dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Malaysia sekali gus menegaskan semula solidariti tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin, dan akan terus memperjuangkan penamatan pencerobohan Israel, penarikan balik sekatan ke atas Gaza, serta penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Bernama-


