PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji semula keperluan untuk mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Sehubungan itu, KPM mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk melaksanakan kajian berkenaan, tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ia selepas mengambil kira keluhan ramai ibu bapa berhubung pemansuhan UPSR serta PT3 masing-masing pada 2021 dan 2022.
Beliau berkata, laporan kaji selidik oleh MPPK dan segala hasil dapatan berkaitan nanti akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.
“Kita akan mengkaji semula peperiksaan berkenaan kerana ia masih menjadi permintaan ibu bapa.
“Apa saja peperiksaan yang disebut atau yang berada dalam polemik masyarakat itu, saya minta Dr Mohd Azam Ahmad (Ketua Pengarah Pendidikan) memberikan pandangan dan ahli-ahli MPPK akan membincangkannya nanti.
“Laporan kaji selidik dan apa saja dapatan nanti, kita akan serahkan kepada anggota Kabinet untuk membuat keputusan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Pendidikan di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu dalam ucapan pada majlis itu, Fadhlina berkata, kajian bagi meneliti sama ada dua peperiksaan awam itu perlu dikembalikan atau sebaliknya, menjadi tugasan utama MPPK pada tahun ini.
Beliau menjelaskan bahawa ia berikutan ke mana saja dirinya pergi, perkara itu masih berbangkit dan menjadi permintaan rakyat.
“Tugasan utama MPPK ialah melihat kembali apa saja yang kita hendak namakan… peperiksaan, penilaian, pentaksiran… yang masih disebut dalam masyarakat.
“Mereka akan melihat sama ada peperiksaan ini perlu dikembalikan, perlu ada dalam masyarakat, perlu diteruskan atau ada mana-mana ‘assessment’ (penilaian) lain yang diperlukan oleh anak-anak kita,” katanya.
Pada April 2021, Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin, dilaporkan berkata kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun itu.
Radzi dipetik berkata, keputusan memansuhkan UPSR dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan pada 2020 berikutan COVID-19.
Peperiksaan PT3 pula dibatalkan untuk tahun sama, sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada 2022 dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Bagaimanapun selepas beberapa tahun kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan, wujud desakan daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa supaya ia dikembalikan semula.
BHonline-


