Melaka: Ejen sindiket pemalsuan dokumen warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas 17 pertuduhan termasuk memiliki pasport dan dokumen palsu, i-Kad Pas Lawatan dan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap San Lwin, 54, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa Myanmar dalam prosiding hampir dua jam bermula jam 3 petang.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa atas lapan kesalahan mengikut Akta Pasport 1966, iaitu tiga mengikut Seksyen 12(1)(a) kerana memiliki pasport palsu dan lima lagi mengikut Seksyen 12(1)(f) kerana memiliki pasport orang lain.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh juga didakwa atas lapan pertuduhan mengikut Seksyen 474/466 Kanun Keseksaan kerana memiliki i-Kad Pas Lawatan (Kerja Sementara) palsu, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Selain itu, San Lwin turut mengaku bersalah menggunakan kad UNHCR palsu sebagai dokumen tulen semasa menandatangani satu perjanjian sewa bertarikh 18 Februari 2023 dan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 165 bulan bagi 17 pertuduhan itu, namun berjalan serentak bermula tarikh ditangkap pada 8 November 2025, menjadikan tempoh penjara yang perlu dijalani hanya 12 bulan.
Dalam prosiding sama, pasangan suami isteri warga Myanmar, Zaw Naing, 31, dan Khin Saw Wai, 26, yang juga pelanggan kepada ejen berkenaan, masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam dan lapan bulan atas kesalahan memiliki pasport dan i-Kad Pas Lawatan (Kerja Sementara) palsu.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pangsapuri Mawar 2, Taman Malim Jaya, di sini, pada 8 November lalu, jam 12 tengah hari.
Sementara itu, dalam prosiding sama, warga Rohingya, Muhammad Nur Hairul Boshar,18, didenda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar atas kesalahan menggunakan kad UNHCR palsu sebagai tulen, di tepi jalan Murni 2, Taman Malim Jaya, pada tarikh sama, jam 2 petang.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon semua tertuduh dikenakan hukuman setimpal mengambil kira isu kedaulatan negara yang terjejas akibat pembabitan sindiket imigran.
San Lwin yang masih bujang serta pasangan suami isteri, Zaw Naing dan Khin Saw Wai merayu hukuman ringan kerana mempunyai tanggungan keluarga termasuk ibu bapa yang uzur.
Peguam Muhammad Shahrul Izham Affandi yang mewakili Muhammad Nur Hairul memohon tertuduh hanya dikenakan denda ringan atas faktor sudah insaf, pesalah muda dan sudah memohon kad UNHCR mengikut proses undang-undang sebelum ditangkap.
-Harian Metro


