DUNGUN: Perkelahan sebuah keluarga bertukar tragedi apabila dua beradik dilaporkan lemas di Pantai Sura Tengah di sini, pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.27 pagi itu, seorang wanita, Nor Baizura Shafie, 39, ditemui meninggal dunia, manakala adiknya, Mohd Fazir Shafie, 37, dipercayai turut lemas masih belum ditemui sehingga kini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sharizal Samsuddin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.27 pagi sebelum sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebelum menemui jasad mangsa wanita kira-kira jam 10.54 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keluarga mangsa yang terdiri daripada tujuh orang dewasa dan lapan kanak-kanak dipercayai sedang berkelah di pantai berkenaan sebelum tragedi berlaku.
Siasatan awal mendapati Nor Baizura dipercayai lemas ketika mandi di pantai, manakala Mohd Fazir pula tenggelam ketika cuba menyelamatkan kakaknya.
“Usaha menyelamat tidak berjaya apabila kedua-dua mangsa dipercayai dihanyutkan ombak besar dan arus kuat sebelum tenggelam,” katanya.
Operasi menyelamat berdepan kesukaran akibat keadaan laut yang bergelora, namun jasad mangsa wanita berjaya dibawa ke daratan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Gerakan mencari dan menyelamat bagi mangsa lelaki diteruskan menggunakan bot, dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sekitar pesisir pantai.
Jasad Nor Baizura kemudiannya dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.


