NILAI: Suspek utama yang dikaitkan dengan letupan membabitkan bahan letupan buatan sendiri (IED) pada 22 Disember lalu dipercayai menghasilkan peranti berkenaan kerana dendam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, berkata daripada soal siasat yang dijalankan terhadap suspek, warga emas itu dikatakan berdendam dengan bekas teman wanitanya.
“Buat masa ini, kami masih lagi menjalankan soal siasat terhadap suspek kerana kesihatannya tidak mengizinkan dan masih dirawat, namun dalam keadaan stabil.
“Berdasarkan soal siasat, suspek mengaku menghasilkan IED berkenaan kerana berdendam dengan bekas teman wanitanya. Mereka dikatakan berpisah sejak lima tahun lalu,” katanya ketika dihubung, semalam.
Johari berkata, keterangan suspek juga tidak konsisten mungkin disebabkan keadaan kesihatannya, selain beberapa elemen siasatan lain tidak sukar diperoleh.
“Suspek sering bercerita kepada saksi mengenai teman wanitanya. Keterangan ini mengukuhkan pengakuan suspek mengenai dendam ke atas bekas kekasihnya,” katanya.
Beliau berkata, polis memohon menyambung reman terhadap lelaki itu semalam bagi melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.
“Permohonan sambung reman ke atas suspek dibacakan di hadapan Majistret Sara Afiqah Zulkipli bertempat di Hospital Tuanku Jaafar, di sini.
“Permohonan sambung reman dibenarkan selama tujuh hari bermula esok (hari ini) hingga hingga 10 Januari depan,” katanya.
Media pada 29 Disember lalu melaporkan suspek berusia 62 tahun itu ditemui dalam keadaan lemah dengan kesan melecur pada muka, tangan dan kaki di kawasan hutan dekat Batang Benar, Nilai, 27 Disember.
Lelaki itu dikatakan bersembunyi di hutan sejak kejadian letupan sebelum ditemui orang awam yang sedang mencari hasil hutan.
Penahanan suspek turut membawa kepada penemuan sebuah motosikal serta beberapa lagi peranti IED bersamanya.
Dalam kejadian 22 Disember lalu, satu letupan berlaku di dalam sebuah kereta ketika suspek dipercayai sedang mengalihkan peranti berkenaan sebelum dia melarikan diri.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
BHonline-


