PETALING JAYA: Pelajar berusia 15 tahun yang dituduh membunuh rakan sekolahnya berusia 16 tahun di Bandar Utama pada Oktober tahun lalu akan menghadapi perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Majistret Amira Sariaty Zainal mengarahkan kes itu dipindahkan selepas pihak pendakwaan memperoleh kebenaran untuk mendakwa di bawah Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah.
Peguam mewakili tertuduh, Kitson Foong, mengesahkan kes itu dijangka dibicarakan sepenuhnya selepas dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
“Pertuduhan ketika ini adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.
“Pihak pendakwaan telah menilai keterangan dan berpendapat ia mencukupi untuk pertuduhan membunuh diteruskan.
“Kami menghormati keputusan itu dan akan berhadapan dengan mereka di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan penuh,” katanya yang ditemui selepas prosiding pengurusan kes.
Awal bulan ini, penilaian psikiatri selama tiga bulan oleh Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony, mendapati remaja lelaki itu layak untuk dibicarakan.
Foong berkata, atas permintaan pihak pembelaan, majistret mengarahkan kes itu diberi keutamaan di Mahkamah Tinggi bagi tujuan pengurusan kes.
“Ini supaya kami dapat bertindak pantas demi kepentingan terbaik kanak-kanak berkenaan untuk menetapkan tarikh perbicaraan.
“Segala persiapan untuk perbicaraan telah lengkap dan kami berharap pihak berkuasa di pendaftaran Mahkamah Tinggi dapat memudahkannya.
“Perbicaraan akan diteruskan sebaik sahaja kami dimaklumkan mengenai hakim yang akan mendengar kes ini dan tarikh perbicaraan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz mewakili pihak pendakwaan.
Remaja lelaki itu yang tidak boleh dikenal pasti secara umum kerana statusnya sebagai pesalah juvana, kini ditempatkan di Pusat Koreksional Puncak Alam.
Dia hadir pada prosiding hari ini dan dibawa masuk ke bilik mahkamah melalui laluan dalaman yang ditutup kepada orang awam. Ibu bapanya serta seorang adik-beradik turut hadir.
Prosiding ditutup kepada media dan tiada rakaman gambar atau video dibenarkan.
Mengulas keadaan remaja itu, Foong berkata anak guamnya menunjukkan perkembangan positif hasil rawatan, pengambilan ubat-ubatan dan sesi kaunseling yang disediakan di pusat berkenaan, iaitu sebuah pusat tahanan untuk pesalah juvana bawah 18 tahun.
“Dia memberi tindak balas yang baik terhadap rawatan dan berada di landasan positif untuk menjadi insan yang lebih baik,” kata Foong.
Remaja itu didakwa membunuh rakan sekolahnya di tandas perempuan SMK Bandar Utama Damansara (4) di Bandar Utama antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.
Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan memperuntukkan hukuman mati, atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Mangsa dikenal pasti sebagai pelajar kelas peralihan, Yap Shing Xuen.
-Berita Harian


