SUBANG JAYA, 13 Disember — Sebuah lori treler panjang yang membawa muatan helikopter telah mencetuskan kesesakan lalu lintas serius selepas gagal melalui susur jalan dari Lebuhraya Shah Alam (KESAS) ke Persiaran Kewajipan di sini, dalam kejadian yang berlaku pada 4 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian tersebut berpunca daripada muatan treler yang terlalu panjang sehingga menghalang pergerakan kenderaan lain serta menjejaskan kelancaran trafik di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berhubung insiden itu pada Jumaat, jam 8.06 malam, selepas satu rakaman video kejadian tular di media sosial TikTok.
“Video berkenaan memaparkan sebuah lori treler membawa helikopter dari arah Lebuhraya KESAS menuju ke susur Jalan Persiaran Kewajipan, namun kenderaan tersebut tidak dapat melalui laluan itu dan menyebabkan aliran trafik terganggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati kejadian sebenar berlaku sekitar jam 4.30 petang pada 4 Disember, apabila treler terbabit tersekat di susur jalan berkenaan disebabkan panjang muatan yang tidak sesuai dengan reka bentuk laluan.
Wan Azlan berkata, situasi tersebut bukan sahaja menyebabkan kesesakan teruk, malah turut menjejaskan pergerakan sebuah ambulans yang berada di lokasi ketika kejadian.
“Sehingga kini, nombor pendaftaran lori treler berkenaan masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Kaedah 9(2) LN 166/59, iaitu kesalahan menyebabkan halangan dan gangguan kepada pengguna jalan raya lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-2891 4495.


