KUALA LUMPUR, 10 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah bernilai hampir RM11 juta dalam satu operasi di kawasan sempadan utara berhampiran Kem Sahara, Kuala Nerang, Kedah.
Menurut kenyataan rasmi Sel Perhubungan Raya Tentera Darat, kejayaan itu dicapai menerusi operasi KOTAK/B/C/D dan PAGAR II Siri 6/2025 yang dikendalikan Kumpulan Serbuan dan Tangkap (SERKAP) 4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) di bawah Briged Ke-6 Infantri

Pada 9 Disember, jam 4.30 pagi, pasukan SERKAP yang diketuai Kapten Muhammad Zulharif Abdul Rahim bersama lima anggota berjaya menahan seorang lelaki warga Thailand dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1.2 kilometer dari Kem Sahara.
Pemeriksaan menemui beberapa barangan termasuk sebuah walkie-talkie, sebilah parang, pinggang dan lampu suluh.

Susulan penahanan itu, pasukan melakukan pemeriksaan lanjut pada jam 7.00 pagi dan menemui sembilan guni berisi bungkusan kecil disorokkan seperti pek beras di sepanjang laluan dipercayai digunakan suspek.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan tersebut adalah ketulan dan serbuk kristal disyaki methamphetamine.
Sebanyak 331 bungkusan, setiap satu seberat 1 kilogram, dirampas dengan nilai anggaran RM33,000 sekilogram, menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM10.923 juta.
Semua barangan rampasan diserahkan kepada IPD Padang Terap pada jam 2.55 petang hari yang sama.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan turut merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan SERKAP 4 RRD atas kejayaan mengekang cubaan penyeludupan dadah terbesar tahun ini.
Beliau turut mengarahkan anggota bertugas terus mempertingkat rondaan dan tahap kesiapsiagaan di semua kawasan tanggungjawab sepanjang sempadan negara.— Mynewshub


