SYDNEY, 14 Disember – Sekurang-kurangnya 11 orang dilaporkan maut dalam satu insiden tembakan yang menggemparkan Bondi Beach, antara pantai paling terkenal di Australia, pada petang Ahad, ketika sedang berlangsung sambutan Hanukah, perayaan keagamaan komuniti Yahudi.
Menurut laporan awal media antarabangsa, kejadian berlaku ketika orang ramai berkumpul di kawasan awam berhampiran pantai bagi menghadiri sambutan tersebut.
Bunyi tembakan mencetuskan panik apabila pengunjung dan penduduk tempatan bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri, dengan sebahagian daripada mereka berlindung di restoran dan premis berhampiran.
Polis New South Wales (NSW) mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum melancarkan operasi keselamatan berskala besar, termasuk menutup beberapa laluan utama di sekitar Bondi Beach serta mengarahkan orang awam menjauhi lokasi kejadian.
Skuad pemusnah bom turut dibawa ke lokasi berikutan penemuan kenderaan yang dipercayai dipasang bahan letupan berhampiran lokasi kejadian.
Pihak berkuasa memaklumkan sekurang-kurangnya dua individu disyaki terlibat dalam insiden berkenaan.
Seorang daripada suspek dilaporkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi ditahan dalam keadaan kritikal dan kini berada di bawah kawalan polis.
Setakat ini, identiti rasmi suspek masih belum diumumkan secara terbuka, sementara siasatan diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian, termasuk kemungkinan unsur jenayah kebencian terhadap kaum Yahudi (antisemitism) memandangkan serangan berlaku ketika acara keagamaan sedang berlangsung.
Polis NSW memaklumkan tiada ancaman berterusan terhadap orang awam buat masa ini, namun kawalan keselamatan di sekitar Bondi Beach serta beberapa lokasi tumpuan di Sydney telah dipertingkat sebagai langkah berjaga-jaga.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan spekulasi tidak sahih, menghormati privasi mangsa, serta mendapatkan maklumat hanya daripada sumber rasmi pihak berkuasa.
Mynewshub akan terus memantau perkembangan terkini dan akan mengemas kini laporan ini sekiranya terdapat pengesahan rasmi baharu berkaitan jumlah korban serta hasil siasatan. – MYNEWSHUB


