MELAKA: Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerup Gerak Khas (GGK) ke-60 di Encore, Klebang, berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung sejak semalam, menandakan sambutan luar biasa rakyat terhadap pasukan keselamatan negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kehadiran memberangsangkan itu menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap keberanian dan keupayaan GGK sebagai pasukan elit yang menjadi benteng pertahanan negara.
Katanya, sambutan berkenaan menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran pasukan elit, demonstrasi keupayaan operasi khas, 28 aset Tentera Darat serta aktiviti interaktif yang membolehkan orang awam mendekati pasukan keselamatan.
“Sebanyak sembilan acara interaktif disediakan bagi memberi peluang kepada masyarakat mendekati pasukan keselamatan serta memahami peranan dan cabaran yang digalas anggota Rejimen Gerak Khas,” katanya selepas merasmikan sambutan itu, hari ini.
Ab Rauf berkata, sambutan Jubli Intan itu turut memberi penekanan kepada peranan institusi keluarga yang menjadi asas kekuatan anggota pasukan, selaras usaha menghargai pengorbanan mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Tambah beliau, sambutan berkenaan selari dengan semangat memperkasa warisan perjuangan dan keberanian GGK yang telah dibina sejak enam dekad lalu, sekali gus meneruskan legasi ketangkasan pasukan elit negara.
“Ini bukan sahaja dapat memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, malah berperanan meningkatkan kefahaman rakyat terhadap fungsi pasukan keselamatan negara.
“Kerajaan negeri menyokong penuh penganjuran program seumpama ini yang turut memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan Melaka,” katanya.
Sementara itu, Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab, berkata penganjuran sambutan di lokasi awam memberi peluang masyarakat mengenali rejimen itu dengan lebih dekat, selain mengukuhkan hubungan antara tentera dan rakyat.
Program berkenaan turut menghimpunkan veteran komando dari seluruh negara sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka sepanjang perkhidmatan dalam mempertahankan tanah air.
-Berita Harian
