Shah Alam: UMNO akan terus memperjuangkan pembebasan serta pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata antara langkah yang boleh diambil adalah membawa resolusi rayuan pengampunan penuh ke hadapan Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Katanya, resolusi berkenaan antara perkara yang dicapai pada Sesi Townhall Veteran UMNO Selangor yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin di sini, hari ini.
“Kita tidak boleh mendesak Yang Dipertuan Agong tapi kita kena menyatakan keprihatinan, permohonan serta rayuan ahli UMNO agar memohon perkenan supaya pengampunan penuh terhadap Najib.
“Perhimpunan Agung adalah peringkat paling tinggi yang mana boleh membuat resolusi berkenaan suatu yang penting. Saya juga akan turut membawa perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad memaklumkan, terdapat desakan dalam kalangan ketua UMNO bahagian supaya parti itu menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Mahkamah Tinggi mengekalkan Najib menjalani baki hukuman penjara di Penjara Kajang.
Beliau berkata, kekecewaan yang dizahirkan akar umbi bukan bersifat sementara, sebaliknya berpunca daripada perkembangan kes membabitkan bekas Presiden UMNO itu.
“Saya berada dalam kumpulan Whatsapp ketua bahagian yang sedang berasap dan berbincang mengenai perkara ini kerana ia bukan sekadar emosi, tetapi lahir daripada kekecewaan terhadap apa yang berlaku kepada Najib,” katanya.
-Sinar Harian
