KAJANG: Remaja lelaki 17 tahun cedera selepas motosikal ditunggangnya secara melawan arus bertembung kereta di Jalan MKH Boulevard 2, Jalan Bukit, di sini, semalam.
Dalam kejadian 2 petang, remaja berkenaan menunggang motosikal dengan seorang lelaki berusia 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata motosikal dinaiki dua lelaki itu berlanggar kereta dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.
Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca kecuaian penunggang motosikal yang melawan arus trafik lalu bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah hadapan.
“Siasatan juga mendapati penunggang motosikal tiada lesen memandu. Akibat kemalangan, penunggang motosikal cedera dan dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan.
“Penunggang motosikal cedera di kaki dan patah tangan kiri, manakala pembonceng motosikal dan pemandu kereta tidak cedera,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) dan Seksyen 26(1) Pengangkutan Jalan 1987.
-Berita Harian


