BANDA ACEH – Dua lelaki yang didakwa sebagai pasangan gay menerima hukuman 76 kali sebatan syariah selepas ditangkap ketika melakukan perbuatan liwat di sebuah tandas awam di Taman Sari, Banda Aceh.
Menurut laporan media tempatan, pasangan tersebut ditahan pihak Wilayatul Hisbah selepas menerima aduan orang awam mengenai tindakan mencurigakan di lokasi berkenaan.
Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke pejabat penguatkuasaan untuk siasatan sebelum diputuskan bersalah di bawah Qanun Jinayat kerana melakukan hubungan sejenis.
Dalam rakaman video yang tular, kedua-dua lelaki itu dilihat mengenakan vest merah sambil digari ketika dibawa menaiki kenderaan penguat kuasa menuju ke lokasi pelaksanaan hukuman.
Hukuman sebat dijalankan di hadapan umum sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang syariah Aceh.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah sepenuhnya, termasuk hukuman sebat bagi kesalahan moral seperti zina, khalwat dan hubungan sejenis.
Pihak berkuasa menegaskan hukuman tersebut dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Namun, kejadian ini sekali lagi mencetuskan perdebatan di peringkat antarabangsa mengenai pelaksanaan hukuman fizikal terhadap komuniti LGBT di wilayah berkenaan. –MYNEWSHUB


