KUALA LUMPUR, 8 Dis – Ahli Parlimen Bagan yang juga Penasihat DAP, Lim Guan Eng, menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya segera menunaikan 10 perkara mendesak melibatkan janji manifesto Pakatan Harapan (PH), kepentingan Sabah dan Sarawak serta tekanan yang semakin membebankan golongan perusahaan kecil dan sederhana (SME).
Dalam surat rasmi bertarikh 8 Disember 2025, Lim menzahirkan kebimbangan terhadap krisis keyakinan dalam kalangan penyokong PH sekiranya kerajaan tidak segera melaksanakan janji Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau menegaskan hanya pembaharuan dasar yang memberi manfaat seimbang kepada rakyat dapat memulihkan kepercayaan terhadap kerajaan semasa.
1. Kerajaan Didesak Segera Tunaikan Janji Manifesto PH PRU-15
Lim berkata, tiada pilihan lain bagi kerajaan PH selain melaksanakan janji manifesto kerana ia merupakan amanah rakyat.
2. Cadangan 10% Peruntukan Untuk Bukan Bumiputera Tanpa Menjejaskan Peruntukan Bumiputera
Beliau mengesyorkan:
Menambah 10% peruntukan kepada bukan bumiputera dalam sektor pendidikan dan ekonomi.
Jumlah asal untuk golongan bumiputera tidak dikurangkan.
Katanya, peruntukan semasa sebanyak 3% kepada bukan bumiputera adalah terlalu kecil berbanding komposisi penduduk bukan bumiputera sebanyak 30%.
3. Bekukan atau Kaji Semula Pengembangan Skop SST
Perluasan skop SST pada 1 Julai 2025 dilihat meningkatkan kos kepada perniagaan, terutamanya SME.
Lim mahu kerajaan membekukan penguatkuasaan baru dan mengkaji semula sektor paling terkesan seperti pembinaan, pendidikan dan sewaan.
4. Wajibkan 50% Pembelian Barangan Tempatan & Kenakan SST 10% Ke Atas Bahan Impot Besi dan Keluli
Lim mendakwa lambakan besi & keluli murah dari luar negara memusnahkan industri tempatan.
Beliau menggesa:
Pembelian 50% barangan tempatan diwajibkan untuk semua pelabur dan kontraktor.
SST 10% dikenakan ke atas iron ore, metallurgical coking coal, coke, serta memansuhkan SST ke atas steel scrap.
Ini bertujuan melindungi industri keluli tempatan bernilai RM65 bilion setahun yang kini hanya tinggal dua syarikat Malaysia beroperasi setelah pelabur asing menguasai 85% pasaran menerusi pengecualian cukai 15 tahun.
5. Peruntukkan RM20 Bilion Untuk Bayaran Balik Cukai Tertunggak Menjelang Januari 2026
Walaupun kerajaan telah menaikkan bayaran balik cukai tertunggak kepada RM4 bilion bagi Disember 2025, Lim menyatakan jumlah itu masih jauh daripada keperluan sebenar yang mencecah puluhan bilion ringgit.
Beliau mencadangkan:
RM20 bilion diperuntukkan pada Januari 2026 untuk menyelesaikan tunggakan.
Katanya, ini bukan sahaja mengembalikan hak pemilik cukai bahkan merancakkan ekonomi menjelang Tahun Baru Cina.
6. Hentikan Caruman 2% KWSP Untuk Pekerja Asing & Cadangan Cukai Dividen 2%
Lim menyifatkan caruman wajib 2% KWSP untuk pekerja asing mulai Oktober 2025 sebagai beban berat kepada majikan.
Beliau turut menolak cadangan mengenakan 2% cukai dividen melebihi RM100,000 kecuali terhadap syarikat tersenarai Bursa Malaysia.
7. Mansuhkan Penalti RM10,000 SIP Di Bawah Seksyen 45F
Beliau menyifatkan penalti RM10,000 terhadap majikan yang gagal memaklumkan kekosongan jawatan kepada PERKESO sebagai terlalu membebankan, khususnya kepada SME.
Lim turut mempertikaikan tindakan PERKESO mengadakan sesi libat urus selepas Rang Undang-Undang SIP diluluskan, bukan sebelumnya.
8. Selesaikan Isu Tuntutan 40% Hasil Sabah & Kekalkan Hak Sarawak
Lim menggesa kerajaan menyelesaikan isu tuntutan 40% hasil Sabah dalam masa singkat dan memastikan hak Sarawak tidak diabaikan.
9. Kecualikan SME Daripada E-Invoicing & Naikkan Ambang Kepada RM5 Juta
Beliau menegaskan:
SME harus dikecualikan sementara daripada pelaksanaan e-invoicing.
Ambang hasil tahunan dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM5 juta mulai 1 Januari 2026.
Ini kerana pelaksanaan e-invoicing dijangka membebankan SME kecil.
10. Tubuhkan Tribunal Pembayar Cukai Bagi Individu & SME
Lim berkata ramai pembayar cukai merungut tentang “taksiran tidak munasabah” oleh LHDN sehingga akaun bank dibekukan secara mengejut.
Beliau mencadangkan penubuhan tribunal khas seperti Tribunal Pengguna untuk memastikan keadilan dan rule of law.
Lim Guan Eng: “Krisis Keyakinan Penyokong PH Kian Meruncing”
Lim mengakhiri suratnya dengan amaran bahawa keyakinan penyokong PH boleh merosot sekiranya isu-isu kritikal ini tidak diselesaikan segera.
Beliau turut menghantar salinan surat kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo. – MYNEWSHUB


