KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan gesaan untuk meneruskan siasatan terhadap mana-mana kes dikaitkan dengan bekas kakitangannya walaupun diputuskan tiada tindakan lanjut oleh pihak berkuasa hanya kerana pernah mempunyai kaitan dengan beliau sebagai tidak adil.
Perdana Menteri merujuk kes penerokaan mineral di Sabah dikaitkan dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador yang diputuskan Timbalan Pendakwa Raya sebagai tutup kes.
Anwar membidas tindakan pihak yang mengaitkan dirinya dengan ahli perniagaan terbabit sedangkan individu itu hanya menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden PKR yang berakhir lima tahun lalu.
Farhash Wafa sebelum ini dikaitkan dengan skandal perlombongan di Sabah membabitkan keluasan 70,000 hektar tanah.
“Kalaulah ditekankan betul 70,000 hektar itu, maka tentunya tindakan diambil. Jadi dalam kes ini ada orang tanya mengapa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) cepat melepaskan? Kerana ia kes senang.
“Hari itu juga saya hubungi Ketua Menteri (Sabah). Saya kata anda baca? Ada ke? Ketua Menteri periksa. Jadi bila siasatan SPRM dalam kes itu tidak sukar.
“Jadi mengapa hendak diteruskan sebagai satu kegiatan rasuah semata-mata kerana orang itu ada kaitan lima atau enam tahun dulu pernah jadi kakitangan saya,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang membangkitkan mengenai pendedahan portal berita antarabangsa, Bloomberg yang mengaitkan kes di Sabah membabitkan individu paling rapat dengan Perdana Menteri.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, dalam kes terbabit, tiada kelulusan diberikan membabitkan 70,000 hektar tanah itu bagi projek berkenaan.
Beliau berkata, jika ada mana-mana pihak mempunyai maklumat spesifik berhubung dakwaan rasuah, siasatan boleh dilakukan dan tiada tolak ansur walaupun membabitkan kakitangannya.
“Tiada kelulusan 70,000 hektar sama ada bukan untuk cari gali dan pemindahan. Kedua-duanya tidak berlaku. Tapi riuh rendah kata 70,000 hektar tanah diberikan kepada syarikat. Jadi ini masalah kita. Tapi yang saya hendak sebutkan apa yang dibicara oleh Larut ialah, kalau ada yang spesifik, kita siasat.
“Saya hendak jelaskan di sini… ini soal rasuah, saya tidak tolak ansur. Dan kalau ada maklumat termasuk pegawai saya (tidak timbul) kerana terpalit nama imej.
“Saya tak boleh katakan seluruh jentera saya itu semuanya bersih, saya tidak boleh katakan. Ada maklumat, siasat,” katanya.
Oktober lalu, kerajaan menyatakan keputusan untuk menutup kes membabitkan Farhash Wafa berhubung penerokaan mineral di Sabah selepas siasatan Timbalan Pendakwa Raya mendapati tiada kesalahan dikesan.
Malah, tiada lesen dikeluarkan bagi keluasan tanah seperti didakwa dan tiada sebarang pertukaran hak milik tanah berlaku.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dilaporkan berkata siasatan kes itu dibuat oleh SPRM dan hasil siasatan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian.
BHonline-


