KOTA KINABALU: Ketua Menteri , Datuk Seri Hajiji Noor memberi amaran kepada setiausaha politik di negeri ini supaya tidak menyalahgunakan kedudukan mereka untuk mengejar agenda peribadi.
“Saya mahu setiausaha politik melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin serta membantu menteri masing-masing dan kerajaan.
“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati mengkhianati kepercayaan yang diberikan,” katanya pada majlis angkat sumpah jawatan18 setiausaha politik baharu di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Setiausaha politik baharu itu adalah termasuk sembilan di Jabatan Ketua Menteri.
Mereka adalah Azrul Ibrahim (Setiausaha Politik Kanan), Datuk Effendi Mohamed Sunoh, Datuk Mazlan @ Joehari Manan, Datuk Arthur Sen, Datuk Norazlinah Arif, Datuk Lahirul Latigu, Noorazmahirah Noorzain dan Mohd Isquzawan Israq Arsit.
Setiausaha politik lain ialah Dr Bonaventure Boniface (Kementerian Kerja Raya dan Utiliti), Johari @ Joe Suhaimin (Kementerian Kewangan), Carlyle Lajimin (Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan).
Abd Wahid Abd Razak (Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan), Justinus Jalang (Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi) serta M Aziriansyah Ali (Kementerian Belia, Sukan dan Kreatif).
Hajiji berkata semua setiausaha politik yang dilantik mesti bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Dalam masa sama, beliau juga mahu pihak terbabit memainkan peranan mereka dalam menyebarkan maklumat kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Kita mahu rakyat memperoleh maklumat yang tepat mengenai inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri supaya mereka tidak menuduh kita hanya membuat janji kosong,” katanya.
Hajiji turut mengarahkan setiausaha politik memastikan maklumat mengenai inisiatif dan dasar kerajaan negeri sampai ke peringkat akar umbi.
“Tugas seorang setiausaha politik adalah sangat penting dalam sistem pentadbiran kita. Saya mahu semua setiausaha politik membantu kerajaan dan menteri masing-masing, khususnya dalam menyebarkan dasar-dasar kerajaan.
“Yang paling penting, sudah pasti dalam menyampaikan maklumat mengenai Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang akan bermula tahun hadapan,” katanya.
-Berita Harian


