Kulai: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita bersama rampasan dadah di Taman Sungai Mas di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, tangkapan ke atas suspek yang juga seorang lelaki tempatan, dua lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan itu dibuat dalam satu serbuan pada jam 8.15 malam.
“Dalam tangkapan dibuat ke atas suspek yang berusia antara 27 hingga 40 tahun itu, kita merampas tiga paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 254 gram.
“Selain itu, kira turut merampas 16 kepingan foil timah disyaki dadah jenis pil ekstasi dengan anggaran berat 45 gram dan sepaket plastik disyaki dadah jenis serbuk ekstasi dengan anggaran berat 1,015 gram.
“Kita turut merampas sekotak rokok mengandungi satu lipatan kertas berisi cebisan daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 7.6 gram,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, semua rampasan dadah dianggarkan dengan bernilai RM62,098.
Katanya, polis turut menyita sebuah kereta Mazda 6 dan sebuah kereta Nissan Teana, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM 122,098.
Tan berkata, seorang suspek lelaki mempunyai dua rekod lampau kes jenayah.
“Hasil ujian awal saringan air kencing pula mendapati dua suspek lelaki warga asing positif dadah THC manakala yang lain negatif.
“Semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 Disember ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-Harian Metro


