KOTA KINABALU: Calon yang bertanding atas tiket BEBAS pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah 29 November lalu, Mohd Ismail Ayob, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang dijadual 24 Januari depan.
Pengumuman dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, pada Majlis Bersama Media di Bangunan UMNO Sabah di sini, petang ini.
Jafry berkata pemilihan Ismail mengambil kira PRN17 yang baru saja berakhir, mendorong BN Sabah memilih untuk mengambil calon perpaduan bagi PRK DUN Lamag.
Katanya, pendekatan itu selari prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan sebagai asas kepada pentadbiran dan pembangunan jangka panjang negeri.
“Berteraskan pertimbangan itu, BN Sabah akan mencalonkan Mohd Ismail Ayob sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus BN.
“Pencalonan ini strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama lebih menyeluruh, merapatkan jurang politik serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik,” katanya.
Beliau berkata, BN Sabah berpandangan pengukuhan kedudukan parti di Kinabatangan bukan sekadar soal persaingan pilihan raya, sebaliknya satu keperluan strategik demi kestabilan politik negeri dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, ia selaras semangat Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kemakmuran, kerjasama dan tadbir urus berasaskan konsensus.
Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, berkata BN Sabah menghormati kepelbagaian pandangan dizahirkan semua pihak dan berpendirian perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi.
“Namun, ia mesti diurus secara matang, berinstitusi dan bertanggungjawab demi menjaga kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.
“BN Sabah merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera akar umbi atas komitmen, disiplin dan semangat kebersamaan dalam memastikan keharmonian sosial serta kemajuan Sabah terus terpelihara,” katanya.
Pada majlis yang sama, Jafry mengumumkan semula pencalonan Mohd Naim Kurniawan Moktar yang sebelum ini diumumkan Ahmad Zahid sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kinabatangan.
“BN Sabah melihat Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar sebagai pemimpin muda yang memenuhi keperluan kepimpinan masa hadapan melalui legitimasi organisasi, penerimaan akar umbi serta keupayaan menterjemahkan aspirasi rakyat di peringkat lapangan,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Pada PRN17 lalu, Bung Moktar memenangi kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi menewaskan Mohd Ismail sebagai pencabar terdekatnya.
Pada pilihan raya itu, Allahyarham Bung Moktar mendapat 3,908 undi, manakala Mohd Ismail mendapat 3,755 undi dalam pertandingan enam penjuru.
-Berita Harian


