SYDNEY: Lelaki dan anaknya disahkan Polis Australia sebagai suspek serangan tembakan di Pantai Bondi, Sydney, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 nyawa, termasuk seorang kanak-kanak dan dua anggota polis.
Pihak berkuasa Australia dalam kenyataan juga menyifatkan insiden pada malam pertama sambutan Hanukkah itu sebagai serangan anti semitik yang menyasarkan komuniti Yahudi.
Menurut kenyataan itu, penyerang berusia 50 tahun maut di tempat kejadian selepas berbalas tembakan dengan pihak berkuasa, manakala anak lelakinya yang berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah dan dalam keadaan kritikal sedang dirawat di hospital.
Polis berkata, suspek memiliki enam senjata api berlesen, yang dipercayai digunakan dalam insiden tembakan itu.
Pesuruhjaya Polis New South Wales, Mal Lanyon, berkata polis menyerbu dua hartanah di Sydney, yang dilaporkan adalah rumah kedua-dua penyerang itu.
“Kami mahu menyiasat hingga ke akar umbi. Kami mahu memahami motif di sebalik kejadian ini. Dan kami sudah tentu mahu memahami tindakan yang telah berlaku,” katanya.
Mangsa termuda yang maut ialah kanak-kanak perempuan 10 tahun yang meninggal dunia di hospital, manakala mangsa paling tua berusia 87 tahun.
Seramai 42 lagi orang dikejarkan ke hospital, termasuk dua anggota polis.
Kenyataan itu juga berkata, siasatan polis kini tertumpu kepada kemungkinan insiden itu ada kaitan dengan kumpulan ekstremis.
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyifatkan insiden itu sebagai “tragedi nasional” dan menggesa rakyat negara itu bersatu menentang kebencian serta keganasan.
Beliau yang turut melawat lokasi kejadian dan meletakkan bunga di pintu masuk Bondi Pavilion, berkata Australia berkabung dengan mengibarkan bendera separuh tiang.
“Apa yang kita saksikan semalam adalah tindakan kejahatan tulen, tindakan anti-semitik, tindakan pengganas di pantai kita di lokasi ikonik Australia, Pantai Bondi, yang biasanya dikaitkan dengan kegembiraan, perhimpunan keluarga, dan sambutan.
“Ia kini tercemar selama-lamanya oleh apa yang berlaku semalam,” kata Albanese pada sidang media.
Kawasan sekitar Pantai Bondi kini ditutup untuk siasatan forensik dan kawalan keselamatan dipertingkatkan di seluruh bandar.
Sehari selepas tragedi itu, kawasan berumput menghadap Pantai Bondi masih berselerak dengan barang-barang yang ditinggalkan oleh orang ramai yang melarikan diri, termasuk meja perkhemahan dan selimut.
Rabi Mendel Kastel, yang mengendalikan pusat kaunseling krisis Jewish House, berkata adik iparnya maut dalam serangan itu.
“Sungguh tidak dapat dipercayai perkara ini berlaku di sini di Australia, tetapi kami perlu kekal teguh. Ini bukan Australia yang kami kenal dan ini juga bukan Australia yang kami mahukan,” kata Kastel.
Rakaman di media sosial menunjukkan seorang lelaki, yang dikenal pasti oleh media tempatan sebagai penjual buah-buahan berusia 43 tahun, Ahmed al Ahmed, menerpa seorang daripada penyerang ketika dia melepaskan tembakan ke arah orang ramai.
Lelaki itu kemudian berjaya merampas senjata dari tangan penyerang, sebelum mengacukan senjata itu kepada penyerang yang kemudian berundur.
BHonline-


