KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat petang tadi selepas hujan lebat berterusan lebih satu jam menyebabkan sistem saliran tidak mampu menampung aliran air yang meningkat secara mendadak.
Kawasan yang dilaporkan terjejas termasuk sekitar Jalan Batu Bata di Titiwangsa Sentral, dan kawasan lain seperti Jalan Sentul Pasar, Sentul, Kampung Chubadak Dalam serta sebahagian Jalan Ipoh.
Tular juga di media sosial beberapa video menunjukkan paras air naik dengan cepat di sekitar pusat bandar, termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Imbi, serta laluan berhampiran Kampung Baru dan Bukit Bintang.
Keadaan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk apabila kenderaan terperangkap dalam limpahan air.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya menerima beberapa panggilan berhubung kejadian banjir kilat serta kenderaan tersekat di jalan raya, namun setakat ini tiada mangsa dilaporkan cedera.
Menurut kenyataan awal DBKL, punca banjir dipercayai akibat taburan hujan luar biasa yang berlaku dalam tempoh singkat, selain beberapa longkang utama tersumbat dengan sampah dan sisa pokok yang dibawa arus.
Pasukan DBKL bersama JPS kini sedang menjalankan kerja-kerja pemantauan serta pembersihan di lokasi terjejas bagi memastikan air surut dengan cepat dan trafik kembali lancar.
Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika memandu dalam cuaca tidak menentu dan mengelakkan kawasan rendah yang berisiko dilanda banjir kilat. – MYNEWSHUB


