Apabila Jawi Jadi Isu, Akal Jadi Mangsa
Ada orang bila tengok tulisan Jawi, terus naik darah. Bukan kerana tulisan itu menyakiti sesiapa, tetapi kerana akal sudah lama disandera prejudis.
Terbaharu, kecoh apabila nama Hospital Klang dipaparkan dalam tulisan Jawi. Bukan papan tanda baharu, bukan polisi baharu, bukan rawatan khas untuk satu kaum — hanya tulisan.
Namun bagi sesetengah orang, tulisan Jawi seolah-olah wabak berbahaya yang mesti dibanteras segera.
Lebih menyedihkan, kritikan itu disertai dengan bahasa kasar dan penghinaan terbuka terhadap Menteri Kesihatan.
Seolah-olah menulis Jawi di hospital awam sama ertinya dengan menghalau kaum lain keluar dari sistem kesihatan negara.
Soalnya mudah:
Sejak bila tulisan Jawi menghalang sesiapa daripada mendapatkan rawatan?
Hospital bukan pusat peperiksaan bahasa.
Orang Cina, India, Melayu, Orang Asli atau sesiapa sahaja tidak perlu membaca Jawi untuk masuk ke wad, jumpa doktor atau ambil ubat.
Kalau begitu logiknya, papan tanda berbahasa Inggeris juga patut dipersoalkan — sebab bukan semua rakyat Malaysia fasih bahasa itu.
Ironinya, mereka yang paling lantang menjerit “hospital untuk semua kaum” inilah yang paling rajin membahagikan rakyat mengikut kaum.
Tulisan Jawi dianggap eksklusif, sedangkan ia sebahagian daripada sejarah negara, wujud dalam mata wang, dokumen lama, dan warisan budaya beratus tahun.
Malaysia ini bukan milik satu kaum, tetapi juga bukan negara yang perlu memadam identiti asalnya semata-mata untuk menenangkan ketakutan politik.
Kalau benar mahu perpaduan, belajarlah untuk hidup dengan kepelbagaian — bukan menyerang simbol budaya orang lain sambil mendabik dada kononnya pejuang inklusiviti.
Akhirnya, yang kelihatan “bodoh” bukanlah tulisan Jawi di dinding hospital,tetapi sikap yang melihat huruf sebagai ancaman dan budaya sebagai musuh.-MYNEWSHUB
**Video adalah dari akaun TikTok Makkal Kelvi


