Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN N.36 Kundasang, Japirin Sahadi mensasarkan untuk mendapatkan 4,000 undi dari kawasan sekitar pekan Kundasang yang memang sudah popular sebagai tempat pelancongan.
Semalam, beliau menghabiskan masa sepanjang hari bersama pasukan kempen BN meninjau kira-kira 12 lokasi Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sekitar Kundasang.
Dalam kawasan pekan Kundasang, ada 9 buah kampung melibatkan 3 PDM iaitu Kundasang, Pinausuk dan Bundu Tuhan dengan kira-kira 9,862 jumlah pengundi.
Seawal pukul 9 pagi, Japirin bersama dengan Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Bahagian Kundasang Khairel Majid Kalimin beramah mesra dengan golongan peniaga di pekan Kundasang dengan berjalan kaki.
Kebanyakan orang berniaga di kawasan pekan Kundasang menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bunga yang segar.
Lokasi ini sudah popular menjadi tumpuan pelancong yang datang ke sini untuk mencari sayuran dari Sabah yang ditanam di kawasan tanah tinggi Kundasang.
Japirin mengambil masa bersalaman dan memperkenalkan dirinya sebagai calon BN nombor 8 yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November depan.
Menurut Khairel ketika ditemui media, beliau berkata kekuatan yang paling jelas ialah Japirin merupakan calon yang berasal dari Kundasang serta membesar di sini dan beliau mengetahui selok-belok serta masalah yang dihadapi penduduk di daerah tanah tinggi ini.
“Sekarang ini, anak muda banyak memerlukan infrastruktur yang bagus untuk menaikkan ekonomi di Kundasang, kami yakin Japirin Sahadi dapat membawa suara anak muda untuk pergi dibawa ke dalam Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata sebagai nilai tambahan Japirin, pengalaman selama 15 tahun menjadi setiausaha politik sebelum di pelbagai kementerian di peringkat negeri Sabah dan di peringkat persekutuan.
Hari ini, Japirin bergerak pula kawasan PDM yang terletak di kawasan pedalaman dalam DUN Kundasang.
Lokasi pertama ialah di PDM Karagasan mengambil masa kira-kira 3 jam untuk ke sana menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
DUN Kundasang ada 24,582 orang pengundi. Pertandingan di kawasan DUN Kundasang melibatkan pertandingan 10 penjuru.- MYNEWSHUB


