KUALA LUMPUR: Wartawan veteran dan pengasas TwentyTwo13, Haresh Deol, diserang dua individu ketika ingin masuk ke dalam keretanya di Bangsar, hari ini.
Menerusi akaun aplikasi X miliknya, Haresh memaklumkan diserang dua individu, di mana salah seorang turut merakam video dirinya diserang. Susulan itu, dia tampil membuat laporan polis.
Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap Haresh ketika beliau sedang menjalankan tugasan kewartawanan.
Geramm berkata, tindakan ganas dan cubaan menggertak wartawan atas kapasiti profesional adalah perbuatan tidak bertamadun serta bertentangan dengan prinsip kebebasan media yang dijamin di dalam sistem demokrasi.
“Serangan fizikal terhadap seorang wartawan bukan sahaja mengancam keselamatan individu, tetapi juga menjejaskan hak orang awam untuk menerima maklumat tepat serta bebas tekanan.
“Geramm menggesa pihak polis untuk menyiasat insiden ini dengan segera dan telus, termasuk mengenal pasti motif dan individu yang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Geramm juga mahu tindakan tegas terhadap pelaku bagi menghantar mesej jelas bahawa keganasan terhadap wartawan tidak boleh diterima dalam apa jua bentuk.
“Keselamatan petugas media ketika melaporkan isu-isu berkepentingan awam perlu diberi jaminan.
“Geramm juga menyeru semua pihak, termasuk pemimpin politik dan masyarakat umum, untuk menghormati peranan wartawan sebagai penyampai maklumat dan bukannya menjadikan mereka sasaran ancaman atau serangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan menerima laporan di Pondok Polis Bangsar hari ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
BHonline-


