BANGKOK: Kerajaan Thailand hari ini mengumumkan penggantungan pelaksanaan perjanjian damai dengan negara jiran, Kemboja, susulan insiden letupan periuk api yang mencederakan dua anggotanya berhampiran sempadan.
Perjanjian itu, yang dimeterai di Kuala Lumpur pada akhir Oktober lalu dengan pemantauan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bertujuan menamatkan permusuhan berpanjangan selepas pertempuran sempadan pada Julai yang meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa dan menyebabkan lebih 300,000 penduduk kedua-dua negara dipindahkan.
Tentera Diraja Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan, letupan periuk api di wilayah Sisaket menyebabkan seorang anggota cedera parah di bahagian kaki, manakala seorang lagi mengalami sakit dada akibat tekanan letupan berkenaan.
Dalam pada itu, Jurucakap kerajaan Thailand, Siripong Angkasakulkiat, berkata Bangkok akan menghentikan ‘tindakan susulan terhadap deklarasi bersama’, merujuk kepada perjanjian dengan Kemboja yang dimeterai di Kuala Lumpur pada akhir Oktober iaitu beberapa bulan selepas kedua pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata.
Langkah seterusnya di bawah pelaksanaan perjanjian itu termasuk pembebasan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan di Thailand.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, pada sidang media berkata, ancaman keselamatan masih belum reda.
“Kami menyangka ancaman keselamatan sudah reda, namun hakikatnya ia masih berterusan,” katanya
Bagaimanapun, pihak berkuasa Kemboja belum mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengulas insiden berkenaan.
Sebelum ini Kemboja menafikan dakwaan Thailand bahawa negara itu menanam periuk api baharu di sepanjang sempadan.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan Kemboja dalam satu kenyataan menegaskan ‘komitmen tidak berbelah bahagi’ terhadap keamanan.
Pertikaian sempadan antara kedua negara Asia Tenggara itu sudah berlarutan selama lebih satu abad, namun pertempuran terbaharu pada Julai tercetus selepas Thailand menuduh Kemboja bertanggungjawab terhadap periuk api yang mencederakan anggotanya.
Justeru, langkah penggantungan ini dijangka memberi kesan kepada usaha diplomatik serantau, ketika komuniti antarabangsa menyeru agar kedua-dua negara kembali ke meja rundingan demi kestabilan serantau.
Thailand dan Kemboja sebelum ini bersetuju dengan gencatan senjata awal pada akhir Julai selepas campur tangan Trump, serta diplomat China dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi blok ASEAN.
Deklarasi bersama yang dimeterai pada Oktober lalu menyatakan kedua-dua pihak akan melaksanakan usaha pembersihan periuk api di sepanjang sempadan, menarik balik senjata berat serta membenarkan pasukan pemantau gencatan senjata yang diselia oleh ASEAN memasuki kawasan berkenaan.
Thailand turut berjanji untuk membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan sejak beberapa bulan lalu.
Selepas perjanjian itu ditandatangani, Kementerian Pertahanan Kemboja memaklumkan bahawa pihaknya menarik balik senjata berat dan pemusnah dari kawasan sempadan dengan Thailand.
Gencatan senjata Thailand-Kemboja itu secara umumnya kekal sejak 29 Julai.
Namun, kedua-dua negara saling menuduh berlaku pelanggaran gencatan senjata, sementara penganalisis berpendapat perjanjian damai menyeluruh bagi menyelesaikan pertikaian wilayah yang menjadi punca konflik masih sukar dicapai.
-Berita Harian


