KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dijangka berlangsung dalam saingan sengit tanpa mana-mana parti diramalkan mampu meraih majoriti jelas, menurut dapatan awal sekumpulan penyelidik politik menjelang hari penamaan calon.
Berdasarkan analisis merangkumi pemerhatian lapangan, data sejarah pengundian, unjuran kuantitatif kerusi dan sentimen digital, landskap politik semasa menunjukkan kecenderungan kecil memihak kepada Barisan Nasional (BN), namun
tidak cukup untuk membentuk kerajaan secara solo.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ismail Rakibe, berpandangan tiada parti boleh menang majoriti sambil tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri Sabah tidak dapat dibentuk tanpa kerjasama parti lain.
“Melalui unjuran keputusan dan senario terkini, tiada parti dijangka mencapai majoriti mutlak sebaliknya ‘hung assembly’ hampir pasti berlaku.
“Unjuran semasa menunjukkan BN sekitar 22 kerusi iaitu terbanyak, diikuti Parti Warisan (WARISAN) dengan 17 kerusi. a Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan 15 kerusi, Pakatan Harapan (PH) pula lapan kerusi, Perikatan Nasional (PN) lima kerusi dan Bebas atau parti kecil satu hingga dua kerusi.
“Dengan itu, pembentukan kerajaan pasca PRN bakal menuntut rundingan antara parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan simulasi gabungan kerusi yang realistik, beliau meramalkan BN berpotensi menjadi blok terbesar gabungan bersama PH, yang secara kumulatif boleh mencapai sekitar 30 kerusi.
Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk kepada prestasi di beberapa kerusi marginal.
“Kedudukan ini tidak menjamin kemenangan mutlak, namun memberikan kedudukan tawar-menawar yang lebih kukuh kepada BN-PH dalam pembentukan kerajaan pasca pilihan raya,” katanya.
Dengan pengenalan ramai muka baharu diketengah sebagai calon, beliau berpandangan ia boleh mempengaruhi sentimen dalam kalangan rakyat negeri itu lalu berupaya membentuk persepsi responsif.
Beliau menambah, langkah itu juga boleh membina semuka kepercayaan awam iaitu elemen yang secara strategik memberi nilai tambah kepada BN misalnya, terutama dalam menarik pengundi muda dan bukan partisan.
“Dapatan awal menunjukkan bahawa BN memperkenalkan sekitar 80 peratus calon muka baharu iaitu kadar pembaharuan tertinggi dalam kalangan parti-parti utama.
“WARISAN pula diunjurkan berada pada sekitar 40 peratus, manakala GRS sekitar 30 peratus,” katanya.
BHonline-


