KUALA LUMPUR: Pengarah dan penyanyi, Namewee dibebaskan dengan jaminan polis hari ini dengan siasatan kematian pempengaruh Taiwan, Iris Hsieh Yu-hsin, masih diteruskan.
Kenderaan membawa Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 42, dilihat keluar meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 3.50 petang bersama peguamnya, Joshua Tay H’ng Foong dengan sebuah kenderaan.
Terdahulu, Joshua ketika dihubungi, berkata Namewee dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekitar jam 11 pagi tadi sebelum kembali semula ke IPD berkenaan kira-kira tiga jam kemudian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, dalam kenyataan hari ini berkata, Namewee dilepaskan dengan jaminan polis sehingga 26 November ini sementara polis menunggu laporan penuh bedah siasat diperoleh.
Katanya, pembebasan itu selepas penelitian awal dilakukan terhadap perkembangan siasatan semasa dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) sebaik laporan bedah siasat lengkap diterima.
Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dilaporkan berkata keputusan membenarkan jaminan dibuat selepas tiada bukti menunjukkan pembabitan Namewee dalam kematian pempengaruh wanita berusia 31 tahun itu.
Katanya, arahan sudah dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneruskan siasatan lanjut dan meneliti semula bahan berkaitan sebelum tindakan susulan diambil.
Namewee direman selama enam hari sejak 5 November lalu sebelum tempoh reman disambung tiga hari lagi sehingga hari ini bagi membantu siasatan.
Siasatan berhubung kematian wanita Taiwan itu bermula selepas wanita itu ditemui tidak bernyawa di sebuah hotel di ibu negara pada 22 Oktober lalu.
Siasatan pada awalnya dijalankan sebagai kes kematian mengejut sebelum dikembangkan semula sebagai siasatan kes bunuh.
Selain siasatan berkaitan kematian itu, Namewee turut ditahan kerana disyaki memiliki dan menggunakan dadah sebelum didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
-Berita Harian


