Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Tindakan Amerika Syarikat didakwa meminta kerajaan Lubnan menyerahkan semula bom GBU-39B yang tidak meletup dalam serangan terbaru di selatan Beirut mencetuskan kemarahan dan kecaman meluas di rantau itu.
Menurut laporan media Israel, Washington mahu bahan senjata tersebut dipulangkan, walaupun ia berasal daripada serangan udara yang disokong dan dibekalkan oleh AS sendiri kepada Israel.
Tindakan Amerika itu didorong rasa bimbang ada pihak yang akan meniru teknologi di sebalik penghasilan bom berkenaan.
Pengkritik menyifatkan langkah itu sebagai kemuncak hipokrasi — Amerika membekalkan senjata yang digunakan untuk mengebom kawasan berpenduduk, namun masih berani dan tanpa rasa malu “menuntut semula” bom yang gagal meledak.
“AS melengkapkan agresor, memungkinkan serangan, melanggar gencatan senjata, kemudian tanpa malu mahu bom mereka dikembalikan,” tegas penganalisis Timur Tengah.
Tindakan itu turut mengundang kecaman kerana dianggap memperlekehkan kedaulatan Lubnan, selain menonjolkan sikap dwistandard Washington dalam konflik serantau.
Sehingga kini, pihak AS belum mengeluarkan penjelasan rasmi mengenai dakwaan tersebut. –MYNEWSHUB


