KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini merekodkan perintah persetujuan membabitkan pempengaruh media sosial, Caprice, untuk segera menurunkan serta menarik balik sembilan kenyataan didakwa berunsur fitnah yang diterbitkan dalam akaun Instagramnya terhadap jurulatih gimnasium, Syed Mohammad Murad Syed Naseem atau lebih dikenali sebagai Murad Zaidi.
Perintah itu direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh, semalam, selepas Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli sebagai defendan, bersetuju untuk patuh dan berjanji tidak menerbitkan semula, mengedar semula atau menyebarkan mana-mana kenyataan berkenaan dalam sebarang bentuk.
Sembilan kenyataan didakwa berunsur fitnah terhadap Murad Zaidi, 38, dimuat naik dalam Instagram defendan antara Julai dan Ogos 2025.
Menurut draf perintah persetujuan, pempengaruh berusia 39 tahun itu juga bersetuju untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau representasi serupa terhadap Murad Zaidi.
Berikutan itu, Murad Zaidi menarik balik permohonan injunksi interimnya terhadap defendan, tanpa perintah mengenai kos.
Perkara itu disahkan oleh peguam Murad Zaidi, Datuk M Reza Hassan, dan peguam defendan, Megat Syazlee Mokhtar.
“Saman fitnah utama terhadap pempengaruh itu akan diteruskan dan pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 17 November ini,” kata M Reza.
Murad Zaidi sebagai plaintif, memfailkan saman fitnah pada 4 Ogos lalu dengan mendakwa defendan telah memuat naik hantaran palsu serta berniat jahat yang menggambarkan beliau terbabit aktiviti jenayah dan jenayah terancang.
Akibat hantaran yang dimuat naik itu, plaintif mendakwa reputasi dan maruahnya telah tercemar, dan menyatakan defendan mempunyai pengaruh besar di Instagram dengan lebih 1.5 juta pengikut.
Sehubungan itu, Murad Zaidi memohon injunksi untuk menghalang defendan, pekerja, wakil atau ejennya daripada menerbitkan, mengedar atau mengulangi sebarang hantaran berunsur fitnah terhadapnya dalam media sosial.
Beliau juga meminta permohonan maaf secara terbuka dalam bentuk video yang akan dimuat naik di semua platform media sosial defendan, selain ganti rugi am, teruk dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, defendan dalam pernyataan pembelaannya, menegaskan kenyataan berkenaan dibuat tanpa niat jahat.
Bernama-


