SEPANG: Lelaki ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di tepi jalan Batu 8, Jalan Banting-Dengkil, Dengkil, di sini malam tadi, pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini hari ini, berkata pada prosiding 19 November lalu itu, lelaki berasal dari Sepang berusia 30 tahun berkenaan bagaimanapun tidak hadir kerana menghilangkan diri ketika itu.
Bagi kes di mahkamah berkenaan, dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan bersabit kes yang dilaporkan di Puchong pada penghujung 2023 dan kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) kerana tidak hadir pada pertuduhan dengan permohonan waran tangkap sudah dibuat.
Kumar berkata, lelaki terbabit dipercayai antara ketua kumpulan sindiket samun berkumpulan yang aktif di tiga negeri sejak tiga tahun lalu, dipercayai aktif dan agresif melakukan jenayah berkenaan sekitar Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Dia juga, katanya, mempunyai 10 rekod jenayah, iaitu samun berkumpulan dan mendatangkan cedera, pecah rumah dan merusuh, selain dua rekod wanted atau dikehendaki membabitkan dua kes samun stor penyimpanan barang tapak projek di Sepang pada tahun lalu.
“Sindiket dianggotai suspek dipercayai mempunyai kira-kira 10 rakan penjenayah. Saki baki ahli kumpulan berkenaan itu sudah dikenal pasti dan polis giat mengesan semua individu itu. Kumpulan berkenaan menyasarkan rumah kediaman, tapak projek atau kilang e-waste sebagai sasaran samun dengan bersenjatakan pistol, parang dan batang besi.
“Mereka akan mencabut, merosakkan dekoder kamera litar tertutup (CCTV) dan memakai topeng muka serta sarung tangan ketika melakukan jenayah, tidak teragak-agak mencederakan mangsa sekiranya diancam. Semakan mendapati ada 19 kes samun dilakukan kumpulan itu di Selangor dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan serta Melaka bagi tempoh 2022 hingga tahun ini dengan anggaran kerugian RM2.5 juta,” katanya.
Menceritakan kronologi kejadian berbalas tembakan malam tadi, beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman terserempak sebuah Perodua Mayvi dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di kawasan Dengkil pada jam 8.10 malam.
Katanya, pasukan itu kemudian mengekori kenderaan suspek dan memintas serta turut mengarahkan ia berhenti, namun suspek memecut laju tetapi berjaya dipintas polis sehingga berlaku pelanggaran.
“Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis dari dalam kenderaannya. Bagi menghentikan ancaman itu, polis membalas tembakan hingga ancaman itu dihentikan dan suspek maut di lokasi kejadian
“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kemudian dihubungi untuk bantuan dan pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemui sepucuk senjata api jenis Remington Rand 45, tiga butir peluru dalam beg silang dan tujuh paket plastik lut sinar disyaki mengandungi syabu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Kumar berkata, pihaknya melancarkan operasi menyasarkan kumpulan atau ahli sindiket yang aktif melakukan kegiatan samun sejak awal bulan ini dengan tumpuan operasi kali ini adalah adalah di kawasan Selangor yang membawa kepada penemuan suspek.
BHonline-


