KANAK-KANAK RUSIA MAUT DISENGAT UBUR-UBUR KOTAK DI PANTAI CENANG
Oleh Mynewshub
LANGKAWI, 20 November – Seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia berusia dua tahun meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa akibat sengatan ubur-ubur kotak (box jellyfish) ketika bermain di Pantai Cenang, Sabtu lalu.

Mangsa, Vladimir Iakubanets, disahkan meninggal dunia pada jam 9.46 pagi semalam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Bapanya, Nikita Iakubanets, 32, berkata insiden berlaku ketika mereka sekeluarga berada di kawasan air cetek sebelum anaknya tiba-tiba berhenti bernafas akibat terkena sengatan.
Beliau memberikan bantuan pernafasan kecemasan sebelum dibantu pengunjung lain yang berada di pantai.

“Doktor memaklumkan jantung anak saya terjejas akibat racun ubur-ubur itu. Bahagian kakinya juga mengalami kecederaan yang sangat teruk,” katanya ketika ditemui media.
Selepas mendapatkan rawatan awal di sebuah klinik, mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha, sebelum dipindahkan ke HSB bagi rawatan intensif.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan pasukan perubatan, Vladimir tidak dapat diselamatkan.
Menurut Nikita, beliau dan isteri amat menghargai usaha pasukan perubatan di kedua-dua hospital dan tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang, sebaliknya berharap kejadian ini menjadi peringatan kepada semua pengunjung pantai mengenai bahaya ubur-ubur kotak.
“Kami hanya mahu membawa abu anak kami pulang ke Rusia selepas proses kremasi selesai,” katanya dalam keadaan sebak.
Sengatan ubur-ubur kotak dianggap antara paling berbahaya di dunia kerana boleh menyebabkan kegagalan jantung, kesukaran bernafas dan kecederaan kulit yang teruk dalam masa singkat.
Kejadian ini juga menimbulkan persoalan tentang tahap keselamatan di pantai-pantai tumpuan pelancong, terutama ketika musim kehadiran ubur-ubur berbahaya.
Takziah diucapkan kepada kedua-dua ibu bapa kecil Vladimir atas kehilangan yang amat menyayat hati ini. – MYNEWSHUB


