KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan melaksanakan kajian serta ‘post-mortem’ menyeluruh susulan hanya memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, semalam.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi mengenal pasti penambahbaikan dari segi persiapan, keberkesanan jentera dan pengukuhan akar umbi.
Beliau sekali gus menekankan bahawa PN komited menjadi suara pengimbang yang berprinsip serta memastikan semak dan imbang.
Selain itu, katanya, memperjuangkan integriti pentadbiran dan membela kepentingan rakyat sambil menawarkan alternatif politik yang stabil serta matang.
“PN menghormati keputusan PRN Sabah dan menerima mandat rakyat dengan penuh tanggungjawab, sambil terus memperkukuhkan peranan dalam politik negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang menjadi satu-satunya calon PN memperoleh mandat pengundi pada PRN berkenaan.
Presiden BERSATU itu berkata, kemenangan Aliakbar di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai yang menyaksikan persaingan 11 penjuru, sebagai dorongan untuk PN bekerja lebih gigih.
“PN juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi, petugas, sukarelawan dan calon PN yang telah berusaha memastikan kejayaan parti pada PRN Sabah ke-17,” katanya.
Keputusan rasmi PRN Sabah ke-17 menyaksikan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 kerusi DUN.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, dilaporkan berkata ia diikuti Parti Warisan (WARISAN) 25 kerusi dan Barisan Nasional (BN) enam kerusi.
Selain itu, Bebas pula lima kerusi, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) – tiga, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) – dua, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) – satu, PN (satu), dan Pakatan Harapan (PH) – satu.
Di DUN Karambunai, Aliakbar sebagai calon PN daripada PAS, meraih majoriti 365 undi untuk menewaskan 10 pencabarnya termasuk penyandang kerusi itu, Datuk Yakub Khan yang mewakili BN.
Pada PRN kali ini, PN bertanding sebanyak 41 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN di Sabah, membabitkan BERSATU (33), PAS (lima) dan GERAKAN (tiga).
BERSATU dan GERAKAN bagaimanapun gagal memenangi sebarang kerusi.
Ia termasuk Pengerusi PN Sabah merangkap Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang tewas kepada penyandang kerusi, Datuk James Ratib yang juga calon ‘heavyweight’ GRS dalam pertandingan tujuh penjuru di DUN Sugut.
Pada PRN Sabah kali ini, seramai 1,148,476 orang atau 64.35 peratus pengundi telah keluar mengundi.
BHonline-


