DHAKA: Mahkamah di Dhaka, hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan, Sheikh Hasina, atas tuduhan melakukan jenayah terhadap kemanuisaan dalam perbicaraan yang diadakan tanpa kehadirannya.
Beliau didakwa melakukan jenayah terhadap kemanusiaan susulan pemimpin itu bertindak mengarahkan atau gagal menghalang pembunuhan besar-besaran dalam insiden protes anti-kerajaan ditunjangi pelajar tahun lalu, lapor portal The Guardian.
Ketika membacakan keputusan di mahkamah, Hakim Golam Mortuza Mozumder berkata: “bekas Perdana Menteri yang dituduh melakukan jenayah terhadap kemanusiaan itu mengeluarkan arahan menggunakan dron, helikopter dan senjata.”
Hasina sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu dan mendakwa tribunal terbabit ‘bermotifkan politik’.
Tribunal yang berlangsung berbulan-bulan itu mengadili dan menjatuhkan hukuman ke atas Hasina tanpa kehadirannya berikutan beliau melarikan diri ke India sejak Ogos tahun lalu.
Hasina yang hidup dalam buangan kini dilindungi negara jirannya, India dengan kerajaan India turut mengabaikan permintaan untuk menyerahkannya bagi menghadapi perbicaraan.
Ahli keluarga penunjuk perasaan yang terkorban dalam protes menangis teresak-esak di dalam mahkamah apabila hakim menjatuhkan hukuman mati ke atas Hasina dan bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan, yang turut dituduh dalam perbicaraan itu.
Untuk rekod, perbicaraan tanpa kehadiran Sheikh Hasina yang bermula pada 1 Jun lalu berlangsung berbulan-bulan dengan keterangan berhubung dakwaan pemimpin itu bertindak mengarahkan atau gagal menghalang pembunuhan besar-besaran.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 1,400 individu maut antara Julai dan Ogos 2024 ketika kerajaan pemimpin Hasina berjuang mengekalkan kuasa.
-Berita Harian


